EPL: Liverpool kembali temui rentak kemenangan
Astro Arena
April 22, 2024 08:45 MYT
April 22, 2024 08:45 MYT
FULHAM 1 LIVERPOOL 3
JURGEN Klopp memuji prestasi separuh masa kedua sempurna yang disajikan Liverpool selepas mereka memuktamadkan kemenangan 3-1 di Fulham untuk menyamakan kedudukan dengan Arsenal di tangga teratas.
Liverpool memperoleh semula sentuhan kemenangan mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi, selepas kekalahan 0-1 kepada Crystal Palace di tempat sendiri minggu lalu untuk mereka menikmati tiga mata menerusi jaringan Trent Alexander-Arnold, Ryan Gravenberch dan Diogo Jota.
Timothy Castagne menyamakan kedudukan buat The Cottagers dengan gol pertamanya untuk kelab dalam babak pertama tetapi ia belum mencukupi untuk menafikan kemenangan anak buah Klopp selepas rehat.
“Separuh masa kedua adalah satu persembahan yang sempurna, jika itu yang anda mahu (laporkan),” kata Klopp.
“Kami menemui persembahan terbaik ketika berdepan Fulham.
"Saya fikir misi kami pada hari ini adalah untuk mencapai kemenangan, barisan pemain saya telah melaksanakannya dan ia sangat bagus.
"Kami mencipta lebih banyak peluang untuk membolehkan kami menjaringkan gol dengan lebih kerap.
“Saya sangat gembira dengan persembahan ini dan harap tiada siapa yang tercedera dan kami akan memantaunya kerana kami perlu pulih dengan cepat untuk bermain pada Rabu.
“Kami berada dalam situasi yang kami ada pada masa ini kerana karakter kelompok pemain ini. Tiada siapa yang menjangkakan kami untuk berada di sini dan melakukannya itu kerana barisan pemain ini.” - Stadium Astro