EPL: Liverpool berang Andy Robertson disiku penjaga garisan
Astro Arena
April 10, 2023 11:43 MYT
April 10, 2023 11:43 MYT
LIVERPOOL berang apabila pemain pertahanan pasukan itu, Andry Robertson, dilihat disiku oleh penjaga garisan pada penghujung separuh masa pertama perlawanan menentang Arsenal di Anfield awal pagi tadi.
Bek kiri itu menghampiri pegawai berkenaan, yang diidentifikasi oleh Sky Sports sebagai Constantine Hatzidakis, dan dilihat mempersoalkan penjaga garisan berkenaan.
Tidak dapat dilihat dengan jelas apa yang dikatakannya ketika itu tetapi siaran televisyen menunjukkan penjaga garisan berkenaan menaikkan sikunya dan melakukan kontak terhadap pemain kebangsaan Scotland itu.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada pegawai berkenaan melakukannya secara sengaja atau tidak.
Menurut Sky Sports, Robertson berkata sewaktu memasuki terowong pemain dalam waktu rehat: "Penjaga garisan telah menyiku saya di kerongkong."
Kapten Liverpool, Jordan Henderson, dilaporkan telah menyuarakan perkara itu kepada pengadil, Paul Tierney, sebelum pemain memasuki bilik persalinan. -- Stadium Astro