EPL: Leicester sah lantik Smith selaku pengurus ganti Rodgers
Astro Arena
April 11, 2023 12:37 MYT
April 11, 2023 12:37 MYT
LEICESTER CITY mengesahkan pelantikan Dean Smith selaku pengurus baharu kelab itu bagi jangka masa singkat sehingga penghujung musim ini.
Pengurus Inggeris itu, yang sebelum ini mengemudi Aston Villa dan Norwich City, tiba di Stadium King Power untuk menggantikan Brendan Rodgers secara interim sebelum ini.
Dengan The Foxes kian bergelut dalam zon penyingkiran daripada Liga Perdana Inggeris (EPL), tugas utamanya adalah untuk memastikan mereka dapat kekal dalam liga divisyen utama itu berbaki hanya lapan perlawanan musim ini.
Smith akan turut disertai bekas penolongnya di Aston Villa, John Terry, dan bekas jurulatih Norwich, Craig Shakespeare, yang sebelum ini pernah bertindak sebagai pengurus Leicester sewaktu Claudio Ranieri meninggalkan pasukan itu pada 2017.
"Saya amat gembira mendapat peluang untuk mengetuai pasukan ini bagi beberapa minggu terakhir musim ini," kata Smith dalam laman web rasmi pasukan itu.
"Cabaran di depan kami amat jelas tetapi ia sesuatu yang saya dan pasukan kejurulatihan saya pernah lalui sebelum ini dan dengan kualiti yang dimiliki skuad ini dan baki perlawanan yang tinggal, ia sesuatu yang amat boleh untuk dicapai," katanya. -- Stadium Astro