EPL: Leeds United hilang khidmat penjaring terbanyak untuk dua bulan
Astro Arena
Februari 3, 2023 13:54 MYT
Februari 3, 2023 13:54 MYT
PENYERANG Leeds United, Rodrigo Moreno, akan terlepas aksi selama dua bulan gara-gara kecederaan buku lali.
Pemain kebangsaan Sepanyol itu mengalami kecederaan berkenaan ketika Leeds mencatatkan kemenangan ke atas Accrington Stanley dalam pusingan keempat Piala FA hujung minggu lalu.
Rodrigo dijangka akan terlepas lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sepanjang tempoh pemulihannya, termasuk dua pertemuan dengan Manchester United.
Pemain berusia 31 tahun itu merupakan penjaring terbanyak Leeds musim ini dengan menjaringkan 12 gol daripada 22 penampilan dan mereka mengesahkan mengenai keadaan itu dengan berkata dalam satu kenyataan: "Rodrido mengalami retak tulang dan cedera ligamen selepas menghadapi terjahan lawan dan dia akan menjalani satu pembedahan kecil."
Kelab itu turut memaklumkan bahawa mereka yakin Rodrigo akan dapat beraksi semula pada penghujung bulan depan dan ia bermakna, dia mungkin diturunkan menentang pendahulu liga, Arsenal, pada April ini.