EPL: Klopp bengang Liverpool tidak diberikan sepakan penalti

Astro Arena
Disember 24, 2023 12:07 MYT
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, bengang apabila pasukannya tidak diberikan sepakan penalti ketika terikat 1-1 dengan Arsenal.- Gambar fail/AP
PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp, bengang apabila pasukannya tidak diberikan sepakan penalti ketika terikat 1-1 dengan Arsenal dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield awal pagi tadi.
Selepas semakan video bantuan pengadil (VAR), pengadil, Chris Kavanagh, mendapati tiada sebab untuk memberikan sepakan penalti kepada tuan rumah walaupun lengan Martin Odegaard yang tidak diangkat menghalang percubaan Mohamed Salah.
Klopp jelas tidak berpuas hati dengan keputusan itu dan berkata kepada BBC Sport: "Situasi penalti itu agak pelik, saya tidak pasti sama ada pengadil itu dapat melihatnya atau tidak tetapi jika anda melihatnya, saya tidak pasti bagaimana anda boleh katakan ia bukan penalti."
Dalam sidang media selepas perlawanan itu, pengurus Liverpool berkenaan menambah: "Saya tidak dapat melihatnya dalam perlawanan, saya melihatnya selepas itu dan saya rasa kita semua setuju ia bola terkena tangan.
"Tetapi saya sentiasa menunggu penjelasan Encik Dermot (Gallagher, penganalisis video) untuk menjelaskan apa keadaan sebenarnya pada keesokan hari.
"Dia akan mencari cara untuk menjelaskan kepada saya mengapa ia bukan insiden bola terkena tangan. "Bagi saya ia amat jelas terkena tangan. Saya tidak tahu sama ada ia akan mempengaruhi keputusan ini," katanya lagi.
Dalam perlawnan itu, Gabriel membuka jaringan buat pelawat seawal minit keempat tetapi kelebihan itu dipadam oleh gol gemilang Mohamed Salah pada minit ke-29, sekali gus menyaksikan dua pasukan teratas EPL itu sekadar berkongsi mata.
*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro
#Liverpool #jurgen klopp #Arsenal #EPL #Mohamed Salah #penalti #Liga Perdana Inggeris
;