EPL: Kemenangan tipis kembalikan Arsenal ke tangga kedua

Astro Arena
Disember 28, 2024 09:15 MYT
Aksi Kai Havertz ketika keluar meninggalkan padang selepas tamat perlawanan EPL antara Arsenal dan Ipswich di Stadium Emirates, London, 27 Dis 2024. (Foto AP)
ARSENAL 1 IPSWICH TOWN 0
Kai Havertz menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk Arsenal meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Ipswich Town dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates awal pagi tadi.
Kemenangan itu turut menyaksikan Arsenal kembali ke tangga kedua liga dengan enam mata di belakang Liverpool.
Gol ketujuh pemain kebangsaan Jerman itu musim ini sudah cukup untuk tuan rumah memberikan kekalahan kelima daripada enam perlawanan terakhir buat pelawat.
Arsenal memecahkan kebuntuan pada pertengahan babak pertama apabila Havertz berada di tempat yang tepat untuk menyudahkan lintangan gemilang Leandro Trossard.
Gabriel Magalhaes berpeluang untuk menggandakan kelebihan itu selepas sejam permainan tetapi tandukannya sedikit tersasar dan The Gunners kemudian tidak berdepan sebarang ancaman untuk mengesahkan kemenangan.
Pasukan bimbingan Mikel Arteta itu memintas Chelsea dan Nottingham Forest untuk berada di tangga kedua EPL tetapi mereka ketinggalan enam mata di belakang Liverpool, yang turut berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.
Ipswich, dalam pada itu, kekal di tangga ke-19, tiga mata di belakang pasukan di tangga ke-17, Wolves.
#Arsenal #EPL #Kai Havertz #Ipswich Town
;