EPL: Julian Alvarez tidak gembira di Manchester City

Astro Arena
Julai 30, 2024 09:50 MYT
Julian Alvarez mengakui kecewa kerana dia kerap tidak diturunkan dalam perlawanan penting.
JULIAN Alvarez meluahkan keraguan mengenai masa depannya bersama Manchester City selepas kerap diketepikan dalam perlawanan penting.
Alvarez beraksi selama 2,657 minit dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) buat City sepanjang musim lalu, minit terbanyaknya sejak menyertai kelab itu pada Januari 2022.
Dia memulakan 21 perlawanan liga musim lalu - walaupun kebanyakannya sebagai pemain tengah menyerang - dan bagi pertandingan lain, termasuk Piala FA, di mana The Citizens layak ke final, dia sentiasa menjadi pilihan kedua di belakang Erling Haaland.
Pemain kebangsaan Argentina itu, yang kini sedang mewakili negaranya dalam Sukan Olimpik Paris 2024, mengakui kecewa dengan keadaan itu, di mana dia kerap tidak diturunkan dalam perlawanan penting.
"Saya masih belum berhenti berfikir mengenai apa yang akan saya lakukan," katanya kepada DIRECTV ketika ditanya mengenai masa depannya.
"Musim lalu, saya antara pemain yang bermain dengan minit paling banyak dalam pasukan.
"Tetapi benar, pada akhirnya, dalam beberapa perlawanan penting, amat tidak menyenangkan apabila anda dipinggirkan. Saya masih ada masa untuk menentukan keputusan saya.
"Saya tidak akan berhenti untuk berfikir dengan tenang. Sebaik sahaja Sukan Olimpik tamat, saya akan meluangkan masa untuk menilai apa yang saya mahukan untuk diri saya," katanya.
Alvarez telah menjaringkan 36 gol dalam 103 penampilan untuk City dalam semua pertandingan, selain menghasilkan 18 bantuan jaringan.
Arsenal, Chelsea dan Atletico Madrid dilaporkan berminat menandatangani pemain berusia 24 tahun itu sekiranya dia memutuskan untuk berpindah dari Stadium Etihad. - Stadium Astro
#EPL #Julian Alvarez #Manchester City #Sukan Olimpik Paris 2024
;