EPL: Guardiola tabik perwatakan Manchester City ketika menang tipis ke atas Fulham
Astro Arena
Mei 1, 2023 10:20 MYT
Mei 1, 2023 10:20 MYT
FULHAM 1 MANCHESTER CITY 2
Pep Guardiola kagum dengan perwatakan Manchester City selepas mereka melonjak ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan tipis 1-2 ke atas Fulham malam tadi.
Gol gemilang Julian Alvarez dari jarak 25 ela sudah cukup untuk memberikan mereka kemenangan di Craven Cottage selepas jaringan pembukaan daripada sepakan penalti Erling Haaland dipadamkan Carlos Vinicius.
Walaupun ia bukanlah aksi terbaik mereka, kemenangan itu membolehkan pasukan juara bertahan itu memintas Arsenal untuk menduduki tangga teratas liga buat kali pertama sejak Februari lalu, bahkan mereka masih memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan berbanding Arsenal, yang ditewaskan 4-1 di Stadium Etihad minggu lalu.
Guardiola gembira dengan cara barisan pemainnya mengatasi situasi sukar itu biarpun beraksi buruk menentang lawan bimbingan Marco Silva berkenaan.
"Saya tidak pernah meragui pemain saya," katanya dalam rancangan BBC, Match of the Day.
"Perlawanan ini amat sengit sehingga ke penghujungnya. Kami tidak boleh mengharapkan sesuatu yang berbeza.
"Ia terlalu banyak perlawanan tetapi kami sedar selepas menewaskan Arsenal di laman sendiri, memenangi perlawanan seperti ini amat penting. Pemain kami menanganinya dengan baik.
"Kami memberikan respons dengan baik (selepas jaringan penyamaan Fulham). Momentumnya ada, kami bermain dengan baik. Ia bukan mudah kerana mereka bertahan dengan amat baik.
"Secara keseluruhan, ia satu persembahan yang baik menyedari kemampuan pihak lawan dan di mana kedudukan kami sebelum ini," katanya.
Guardiola turut memberikan penghormatan istimewa buat Haaland, yang menjadi pemain pertama menjaringkan 50 gol dalam satu musim liga utama England sejak 1931.
"Sebelum Winston Churchill menjadi Perdana Menteri? Wah, ia kedengaran sangat lama," kata pengurus City itu sambil mengukir senyuman.
"Tahniah buat Erling. Sasaran terbaiknya untuk membantu apa yang kami mahukan masih ada di sana." - Stadium Astro