EPL: Gol Van Dijk, Salah buka peluang Liverpool rebut kelompok empat teratas
Astro Arena
Mac 2, 2023 10:20 MYT
Mac 2, 2023 10:20 MYT
LIVERPOOL 2 WOLVERHAMPTON WANDERERS 0
Liverpool mengatasi Wolves 2-0 dalam keadaan padang basah di Anfield hasil jaringan Virgil van Dijk dan Mohammed Salah awal pagi tadi.
Aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu merupakan pertemuan keempat dua pasukan berkenaan sepanjang dua bulan ini, di mana mereka turut bertemu sebanyak dua kali dalam pusingan ketiga Piala FA selain pertembungan di Stadium Molineux bagi pusingan pertama saingan liga.
Perlawanan berlangsung seimbang sepanjang 70 minit sehinggalah Van Dijk membuka jaringan dengan menanduk masuk bola daripada sepakan percuma Trent Alexander-Arnold pada minit ke-73.
Salah meredakan tekanan buat pasukannya dengan menjaringkan gol kedua mereka berselang empat minit susulan gerakan satu-dua menarik di antara Kostas Tsimikas dan Cody Gakpo, sekali gus memastikan tiga mata penting buat The Reds.
Kemenangan itu juga menyaksikan Liverpool kini melonjak ke tangga keenam EPL dalam pemburuan mereka untuk mendapatkan penamat empat teratas, sekali gus layak beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan. - Stadium Astro