EPL: Gol berganda Martin Odegaard bawa Arsenal kembali ke puncak liga atasi Chelsea

Astro Arena
Mei 3, 2023 10:40 MYT
Aksi Martin Odegaard meraikan kejayaan menjaringkan gol pembukaan ketika perlawanan EPL antara Arsenal dan Chelsea di Stadium Emirates, London, 2 Mei 2023. (Foto AP)
ARSENAL 3 CHELSEA 1
Arsenal kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan seteru London, Chelsea, di Stadium Emirates awal pagi tadi.
Selepas gagal memenangi empat perlawanan liga terakhir, The Gunners kali ini mudah mengatasi Chelsea 3-1 untuk kembali ke tangga teratas, sekurang-kurangnya untuk 24 jam sebelum perlawanan Manchester City menentang West Ham awal pagi esok.
Ketua pasukan, Martin Odegaard menjaringkan dua gol sambil Gabriel Jesus turut mencatatkan nama selaku penjaring sebelum tamat separuh masa pertama, sekali gus memberikan kekalahan keenam berturut-turut kepada Chelsea sejak dibimbing pengurus interim, Frank Lampard.
Noni Madueke sekurang-kurangnya berhasil memperoleh jaringan sagu hati buat The Blues, yang kini tewas enam daripada tujuh pertemuan terakhir dengan Arsenal.
Ketika ia menjadi malam ununtuk diingati Odegaard, bekas pemain Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang, pula berdepan nasib berbeza, di mana dia tersenarai sebagai kesebelasan utama buat kali pertama sejak pertemuan dengan Arsenal pada 6 November lalu tetapi hanya dapat beraksi selama 45 minit sebelum dikeluarkan.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, masih enggan mengaku kalah dalam perebutan gelaran liga musim ini walaupun prestasi mereka dalam empat perlawanan lalu, termasuk kekalahan besar kepada City, telah menjadikan misi berkenaan kian mustahil untuk dilaksanakan.
Keputusan itu meletakkan Arsenal kembali ke tangga teratas dengan kelebihan dua mata di atas City tetapi mereka telah beraksi lebih dua perlawanan dan seteru bimbingan Pep Guardiola itu juga sedang berada di prestasi terbaik menjelang pertemuan dengan West Ham.
#Chelsea #Arsenal #EPL #Martin Odegaard
;