EPL: Giliran Brentford calar maruah Chelsea
Astro Arena
April 27, 2023 08:30 MYT
April 27, 2023 08:30 MYT
CHELSEA 0 BRENTFORD 2
Frank Lampard meratapi nasib Chelsea yang menempa lima kekalahan berturut-turut dan yang terbaru kecundang 0-2 kepada Brentford, awal pagi tadi.
Jaringan sendiri daripada Cesar Azpilicueta dalam separuh masa pertama di Stamford Bridge disusuli percubaan lencong Bryan Mbeumo pada lewat baki permainan yang menyaksikan The Blues kemarau kemenangan dalam lapan persembahan terakhir.
"Ia adalah sesuatu yang sukar; sedikit sebanyak saya memahami perasaan pemain. Mereka telah mengharunginya (detik sukar) lebih lama daripada saya dan keyakinan mereka juga rendah," katanya kepada BT Sport.
"Daripada segi permainan, kami menguasai bola. Brentford bagus dalam apa yang mereka lakukan. Mereka melancarkan asakan, mereka mendapat balingan ke dalam, mereka mendapat sepakan sudut, mereka menjaringkan gol daripada sepakan sudut yang melencong dalam babak pertama yang buntu.
"Kami mendominasi separuh masa kedua dan mereka menjaringkan gol secara serangan balas, jadi butiran permainan cukup jelas. Kami kurang berkeyakinan apabila kami tiba di bahagian atas padang.
"Buat masa ini, ia bukan satu kisah sedih tetapi segala-galanya tidak memihak kami. Perlawanan ini jelas (kami yang kuasai). Walaupun kami tidak mencipta peluang keemasan, kami mendominasi separuh masa pertama.
"Kami berdepan satu perlawanan yang sukar, perlawanan yang sangat sukar. Beberapa pemain dimasukkan dan melakukannya dengan baik jadi mungkin sudah tiba masanya untuk melihat aksi pemain-pemain dengan lebih kerap.
"Ketika ini semua pemain 20 peratus kurang keyakinan dan faktor itulah yang menewaskan pemain.
"Kami melepaskan separuh peluang yang dicipta, kami gagal memanfaatkannya jadi itulah cerita daripada saya."