EPL: Gemilang Kai Havertz pastikan Chelsea tamat kemarau kemenangan

Astro Arena
Disember 28, 2022 10:40 MYT
Pemain Chelsea meraikan kemenangan ke atas Bournemouth di Stadium Stamford Bridge, London. - Foto AP
CHELSEA 2 AFC BOURNEMOUTH 0
Mason Mount dan Kai Havertz menemui sasaran untuk Chelsea kembali ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan 2-0 ke atas Bournemouth di Stamford Bridge awal pagi tadi.
Pasukan bimbingan Graham Potter itu menuju ke waktu rehat Piala Dunia Qatar bulan lalu dengan gagal merekodkan kemenangan dalam lima perlawanan liga terakhir, di mana mereka tewas tiga daripadanya.
Prestasi luar biasa pasukan tuan rumah itu menyaksikan mereka menamatkan kemarau berkenaan, namun dengan harga yang mahal apabila Reece James terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan dalam perlawanan pertamanya sejak Oktober lalu.
Keputusan itu juga menyaksikan Bournemouth tewas dua daripada dua perlawanan kompetitif di bawah bimbingan Garry O'Neill selepas ketua jurulatih itu mengisi peranan berkenaan secara tetap.
Dominasi Chelsea sejak awal permainan membuahkan Hasil apabila Havertz menyumbat masuk bola hantaran rendah Raheem Sterling pada minit ke-16.
Lapan minit berselang, pemain kebangsaan Jerman, Havertz, muncul pencetus kepada jaringan Mount, yang melakukan sepakan lencong dari luar kotak penalti untuk menewaskan pertahanan Bournemouth buat kali kedua dalam perlawanan itu.
Dalam pada The Blues memburu jaringan ketiga, mereka berdepan satu lagi tamparan apabila James tidak dapat meneruskan saingan kerana kecederaan kaki. - Astro ARENA
#EPL #Chelsea #Bournemouth #Stamford Bridge
;