EPL: Dua gol Haaland letak Manchester City di ambang kejuaraan
Astro Arena
Mei 15, 2024 10:20 MYT
Mei 15, 2024 10:20 MYT
TOTTENHAM HOTSPUR 0 MANCHESTER CITY 2
Dua gol Erling Haaland dan aksi memukau Stefan Ortega di gawang Manchester City menyaksikan pasukan juara bertahan itu menumbangkan Tottenham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di London awal pagi tadi.
Haaland, yang membuka jaringan pada minit ke-51 dengan tolakan mudahnya, menyempurnakan sepakan penalti dalam waktu kecederaan, yang membuatkan kawasan tempat duduk penyokong City di Stadium Tottenham Hotspur hiruk-pikuk dengan keraian mereka.
Jaringan itu menyusul selepas aksi menyelamat gemilang penjaga gol City, Ortega, di gawang bertentangan dengan menafikan gol penyamaan Son Heung-min.
Dengan kemenangan itu, City kembali ke tangga teratas EPL dengan 88 mata dan memintas Arsenal di tangga kedua (86 mata) berbaki satu perlawanan.
Seandainya dapat menewaskan West Ham dalam aksi terakhir pada hujung minggu ini, City akan menjulang trofi EPL buat kali keempat berturut-turut.
Keputusan itu juga menyaksikan Spurs gagal ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.