EPL: Di mana sahaja saya tamatkan karier, saya akan gembira - Mohamed Salah
Astro Arena
Disember 23, 2024 12:01 MYT
Disember 23, 2024 12:01 MYT
PENYERANG Liverpool, Mohamed Salah, teruja selepas memecahkan dua rekod Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam kemenangan besar membenam Tottenham Hotspur 6-3 di tempat lawan, awal pagi tadi.
Dua gol dan dua bantuan gol memastikan Liverpool terus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pendahulu EPL dengan kelebihan empat mata di puncak carta liga.
Salah memastikan jumlah gol dan bantuan jaringan yang dilakukannya musim ini menjadi dua angka sekali gus menjadi pemain pertama yang meraih kejayaan itu sebelum Krismas dan pertama yang melakukan itu dalam empat kempen berturut-turut.
Dia kini berada di tangga keempat dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang masa Liverpool, mengatasi Billy Liddel selepas jaringan ke-229 buat The Reds dalam semua pertandingan.
"Saya tidak memikirkannya sebelum perlawanan tetapi saya gembira telah melakukan itu, sesuatu yang membanggakan buat saya. Saya akan terus bekerja keras.
"Ianya sesuatu yang bagus dengan pencapaian itu di kelab yang besar ini, tetapi perkara paling penting adalah kami melakar kemenangan. Di mana sahaja saya menamatkan karier saya, saya akan gembira.
Salah percaya skuad kendalian Arne Slot itu masih mempunyai kerja yang perlu diselesaikan.
"Cara mereka beraksi tidak banyak berubah, ia sengit. Manchester City datang ke sini dan bergelut, pasukan lain juga. Saya gembira kami menang kerana mereka telah memberikan aksi yang sengit," katanya. -- Stadium Astro