EPL: Chelsea tendang Manchester City ke tangga kelima
Sinar Harian
Mac 10, 2025 08:40 MYT
Mac 10, 2025 08:40 MYT
Marc Cucurella (kiri) meraikan bersama rakan sepasukan Jadon Sancho selepas menjaringkan gol pertama pasukannya ketika perlawanan EPL antara Chelsea dan Leicester City, di Stadium Stamford Bridge, London, 9 Mac 2025. (Foto AP)
CHELSEA berjaya meraih tiga mata di Stadium Stamford Bridge selepas menang tipis 1-0 ke atas pasukan bergelut Leicester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), meninggalkan pelbagai persoalan dalam kalangan komuniti kelab itu.
Gol tunggal Marc Cucurella minit ke-60 menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan, namun persembahan The Blues secara keseluruhan jauh daripada meyakinkan penyokong kelab London tersebut.
Dominasi penguasaan bola Chelsea tidak diterjemahkan kepada peluang berbahaya, sehinggalah Enzo Fernandez melorongkan bola kepada Cucurella yang melakukan rembatan menewaskan Mads Hermansen.
Penjaga gol Denmark itu sebelum ini menjadi wira Leicester City apabila menafikan sepakan penalti Cole Palmer pada minit ke-22 separuh masa pertama.
Kegagalan itu menandakan penalti pertama Palmer di Liga Perdana Inggeris yang gagal disempurnakan melanjutkan kemarau golnya kepada tujuh perlawanan liga.
Bagaimanapun kemenangan di bumi London itu lebih bermakna apabila melonjakkan Chelsea ke tangga keempat liga dengan 49 mata, menyingkirkan penyandang juara Manchester City dari kelompok empat terbaik pemburuan slot Liga Juara-Juara.
The Blues kendalian Enzo Maresca kini dua mata di belakang Nottingham Forest dan 21 mata di belakang pendahulu liga, Liverpool manakala The Foxes bimbingan Ruud van Nistelrooy kekal di zon penyingkiran dengan 17 mata.
Secara keseluruhan perlawanan ini memperlihatkan Chelsea yang kurang klinikal, dengan kesukaran menembusi benteng Leicester.
Kegagalan Palmer menyempurnakan penalti menambah tekanan kepada pasukan tuan rumah, yang akhirnya berjaya meraih kemenangan menerusi rembatan Cucurella. - Sinar Harian