EPL: Arsenal kian menjauh daripada kejuaraan
Astro Arena
Februari 23, 2025 09:00 MYT
Februari 23, 2025 09:00 MYT
Jarrod Bowen (kanan) meraikan bersama rakan sepasukan selepas berjaya menjaringkan gol pembukaan dalam perlawanan EPL antara Arsenal dan West Ham United di Stadium Emirates, London, 22 Feb 2025. (Foto AP)
ARSENAL 0 WEST HAM 1
Arsenal terlepas peluang untuk merapatkan diri dengan pendahulu, Liverpool, apabila tewas mengejut 0-1 kepada West Ham dalam perlawanan Liga perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates awal pagi tadi.
Selepas Liverpool terikat 2-2 dengan Aston Villa, Arsenal memiliki peluang untuk mengecilkan jurang kepada lima mata di belakang The Reds, yang akan bertandang ke laman Manchester City awal pagi esok.
Bagaimanapun, pasukan bimbingan Arteta itu bergelut untuk mencipta peluang dan kebuntuan memecahkan pertahanan West Ham.
Dan aksi tidak kemas mereka dalam perlawanan kali ini dihukum Jarrod Bowen, yang menanduk masuk lintangan Aaron Wan-Bissaka sebelum separuh masa.
Peluang The Gunners untuk menyamakan kedudukan dalam babak kedua semakin tipis apabila pemain gantian, Myles Lewis-Skelly, dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan Mohammed Kudus pada minit ke-73.
Kemenangan itu menyaksikan West Ham kekal berada di tangga ke-16 dan dibezakan 13 mata daripada zon penyingkiran EPL, manakala Arsenal pula berpotensi ketinggalan 11 mata di belakang Liverpool seandainya The Reds dapat menewaskan City.