EPL: Arsenal bangkit daripada ketinggalan dua gol ikat Chelsea
Astro Arena
Oktober 22, 2023 09:37 MYT
Oktober 22, 2023 09:37 MYT
CHELSEA 2 ARSENAL 2
Arsenal mengecewakan Chelsea dengan kebangkitan menakjubkan pada penghujung permainan untuk mengikat keputusan 2-2 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge awal pagi tadi.
Pasukan bimbingan Mikel Arteta itu kelihatan akan berdepan kekalahan pertama musim ini apabila percubaan lintang Mykhailo Mudryk melepasi jangkauan David Raya pada minit ke-48.
Ia memberikan Chelsea kelebihan dua gol selepas Cole Palmer terlebih dahulu membuka jaringan menerusi sepakan penalti pada awal separuh masa pertama.
Pasukan pelawat itu kelihatan tidak dapat menguasai permainan seperti kebiasaan.
Sementara Chelsea bimbingan Mauricio Pochettino, yang dipacu Palmer selaku penyerang di bahagian sayap kanan, lebih banyak mendominasi menuju ke suku terakhir permainan.
Bagaimanapun, situasi itu mula berubah apabila kecuaian penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez, dalam melakukan hantaran dipintas Declan Rice.
Ia merapatkan jurang jaringan sebelum Leandro Trossard menamatkan keraian penyokong tuan rumah menerusi penyudah jarak dekatnya menuju ke penghujung perlawanan.
Keputusan itu memberikan Arsenal satu mata berharga untuk mereka kembali ke kelompok dua teratas EPL.
Mereka terikat 21 mata dengan pendahulu liga, Manchester City, dan hanya dibezakan jumlah jaringan.