EPL: Arsenal ambil Runarsson ganti Martinez

Astro Arena
September 22, 2020 12:14 MYT
Runarsson akan mengenakan jersi nombor 13. - Gambar fail REUTERS
ARSENAL sah menandatangani penjaga gol baru, Alex Runarsson, dari kelab Ligue 1, Dijon, dengan kesepakatan yang dilaporkan bernilai £1 juta (RM5.3 juta).
Skuad The Gunners itu kekurangan penjaga gol sokongan selepas Emiliano Martinez meninggalkan pasukan itu bagi menyertai Aston Villa minggu lalu.
Martinez mencuri tumpuan pada penghujung musim lalu dengan membantu Arsenal memenangi Piala FA dan perisai komuniti tetapi memilih untuk berpindah ke Villa Park bagi mendapatkan lebih peluang dalam kesebelasan utama.
Dengan Brend Leno memegang tanggungjawab sebagai pemain dengan jersi nombor 1 pasukan itu, Runarsson, 25, akan bertindak sebagai penjaga gol kedua.

The newest member of our family pic.twitter.com/0t4MLn1Kxm

— Arsenal (@Arsenal) September 21, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Kami mahu mencipta persaingan yang sihat untuk merebut tempat dan kami mahu Alex memberikan sesuatu yang lebih baik di posisi penjaga gol," kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta.
Runarsson, yang merupakan pemain kebangsaan Iceland, akan mengenakan jersi nombor 13.
Pengarah Teknikal Arsenal, Edu, menambah: "Kami gembira untuk menyambut kedatangan Alex ke dalam skuad ini.
"Kami sudah memerhatikannya sejak sekian lama dan berdasarkan analisis, dia mempunyai kriteria yang kami cari bagi seorang penjaga gol."
The Gunners memperbaiki prestasi musim lalu dengan memenangi dua perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, masing-masing ke atas Fulham dan West Ham.
#Alex Runarsson #Arsenal #Aston Villa #Brend Leno #Emiliano Martinez #EPL #kesepakatan #Liga Perdana Inggeris #Mikel Arteta #penjaga gol #Piala FA #Twitter
;