EPL: Armstrong lengkapkan kebangkitan Southampton benam Chelsea
Astro Arena
Ogos 31, 2022 11:52 MYT
Ogos 31, 2022 11:52 MYT
SOUTHAMPTON bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk membenam Chelsea 2-1 awal pagi tadi, dimana jaringan kemenangan Adam Armstrong pada penghujung babak pertama memastikan kekalahan kedua lawan bimbingan Thomas Tuchel itu dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Aksi di Stadium St. Mary itu menyaksikan Raheem Sterling membukan jaringan buat pelawat pada minit ke-23 tetapi rembatan kencang dari jarak jauh yang dilakukan Romeo Lavia memastikan Southampton kembali mengikat kedudukan hanya berselang lima minit sebelum Armstrong memastikan kemenangan tuan rumah dalam waktu kecederaan babak pertama.
Dengan Reece James terpaksa direhatkan berikutan masalah kesihatan, Chelsea kelihatan bergelut untuk kembali mempamerkan prestasi terbaik dan Kai Havertz pula terlepas peluang keemasan untuk mereka menyamakan kedudukan dalam separuh masa kedua.
Keputusan itu bermakna Southampton kendalian Ralph Hasenhuttl kini memintas Chelsea di tangga ketujuh liga biarpun dengan jumlah pungutan mata dan perbezaan jaringan yang sama sambil The Blues terus bergelut dengan permulaan tidak meyakinkan musim ini.
Chelsea seterusnya akan menantikan kunjungan West Ham dalam aksi "Derby London" hujung minggu ini manakala Southampton pula akan bertandang ke laman Wolves pada hari yang sama. -- Stadium Astro