EPL: Amorim syukur ada Bruno Fernandes, cemerlang bawa Man Utd mudah tewaskan pasukan tercorot, Leicester City
Astro Arena
Mac 16, 2025 07:40 MYT
Mac 16, 2025 07:40 MYT
Fernandes menjadi watak penting Manchester United meraih kemenangan berdepan Leicester City. - Foto AP
KECEMERLANGAN ketua pasukan, Bruno Fernandes, semakin terserlah apabila sekali lagi menjadi watak penting Manchester United meraih kemenangan berdepan pasukan tiga tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL), Leicester City, awal pagi tadi.
Selepas melakar hatrik dalam penampilan terdahulu ketika menewaskan Real Sociedad dalam Liga Europa (UEL), pemain kebangsaan Portugal itu membantu The Red Devils dengan melakukan dua bantuan jaringan selain menoktahkan kemenangan pada minit ke-90 untuk rakan sepasukannya membawa pulang tiga mata penuh dari King Power Stadium.
Rasmus Hojlund terlebih dahulu membuka tirai jaringan sebelum Alejandro Garnacho menggandakan kelebihan 2-0 untuk terus memberi tekanan kepada anak buah Ruud van Nistelrooy.
Gol terakhir perlawanan menerusi pemain terbaik itu cukup meletakkan juara Piala FA musim lalu itu dalam kelas tersendiri bagi mengubah kedudukan carta yang menyaksikan EPL bakal berakhir tidak lama lagi.
“Dia pemain yang sangat bagus, tetapi apa yang paling saya suka ialah cara dia bermain di setiap posisi untuk membantu pasukan," kata ketua jurulatih, Ruben Amorim.
Bercakap kepada Sky Sports, Amorim menambah: "Apa yang kita lihat setiap minggu adalah cemerlang. Tetapi perkara yang paling penting ialah kerja yang dia lakukan setiap minggu." - Stadium Astro