England raih suntikan semangat

Astro Arena
Jun 3, 2018 10:36 MYT
Pemain Nigeria Kenneth Omeruo (kanan) beraksi dengan pemain England Harry Kane pada perlawanan persahabatan antara England dan Nigeria di Stadium Wembley, 2 Jun, 2018. REUTERS
ENGLAND 2 NIGERIA 1
England melepaskan deretan peluang tetapi masih berupaya menundukkan Nigeria 2-1 dalam aksi persahabatan di Wembley, awal pagi tadi.
Kedua-dua pasukan yang bakal memulakan aksi Piala Dunia kurang daripada dua minggu lagi turun dengan misi mahu mencipta kemenangan selepas masing-masing gagal melakukannya dalam aksi pemanas badan, sebelum ini.
Beraksi di laman sendiri, skuad kendalian Gareth Southgate hanya memerlukan tujuh minit untuk membuka tirai jaringan menerusi Gary Cahill.
Pemain pertahanan Chelsea itu melonjak tinggi untuk menyudahkan bola sepakan sudut Kieran Trippier dari sebelah kanan menerusi tandukan deras, sekaligus menewaskan penjaga gol lawan, Francis Uzoho.
Ashley Young hampir menambah gol kedua England pada minit ke-18, selepas menerima hantaran pendek Raheem Sterling di dalam kotak penalti, namun percubaan jarak dekat pemain Manchester United itu sempat dihalang benteng pelawat.
Bagaimanapun, juara Piala Dunia 1966 itu tidak berdepan masalah untuk melebarkan kedudukan pada minit ke-39 menerusi rembatan kapten pasukan, Harry Kane, yang gagal disekat dengan kemas oleh Uzoho untuk memberikan England kelebihan 2-0 sehingga wisel babak pertama dibunyikan.
Memasuki separuh masa kedua, pengurus Nigeria, Gernot Rohr, melakukan empat pertukaran serentak dan percaturan itu berhasil ketika aksi bersambung dua minit apabila pemain muda Arsenal, Alex Iwobi, melakukan tindakan susulan untuk menewaskan Jordan Pickford setelah percubaan awal Idion Ighalo sekadar singgah ke palang gol, sekaligus menjadikan kedudukan 2-1.
England sepatutnya menambah jaringan ketiga pada minit ke-62 sekiranya tandukan pemain tengah, Eric Dier, tidak tersasar melewati palang gol.
Ketika perlawanan berbaki 10 minit, pemain gantian, Marcus Rashford, turut berpeluang meletakkan nama di senarai penjaring tetapi usahanya sekadar menyaksikan satu percubaan lemah dan kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.
England dan Nigeria akan melalui aksi pemanas badan terakhir sebelum bermulanya saingan Piala Dunia, apabila The Three Lions bakal bertemu Costa Rico pada 8 Jun sambil anak didik Rohr akan menentang Republik Czech, dua hari sebelumnya.
#England #Nigeria #Piala Dunia
;