England ketiga terbaik ragbi Piala Dunia Perancis 2023
Sinar Harian
Oktober 28, 2023 17:26 MYT
Oktober 28, 2023 17:26 MYT
ENGLAND mempamerkan aksi membanggakan mengekang kebangkitan Argentina untuk merangkul pingat gangsa setelah menang 26-23 perlawanan penentuan tempat ketiga keempat ragbi Piala Dunia Perancis 2023 di Stadium Stade de France, Saint-Denis, awal pagi Sabtu.
Kedua-dua pasukan tampil agresif dengan misi untuk mengubati kekecewaan tersingkir dalam pusingan separuh akhir minggu lalu.
Namun kapten England, Owen Farrell membuktikan perbezaan status antara kedua-dua kuasa ragbi dunia tersebut apabila berjaya menjaringkan dua percubaan.
Selain itu, dia juga mendapat empat penalti dan dua conversions untuk 16 mata ketika pemain The Pumas, Nicolas Sanchez terlepas sepakan untuk menyamakan kedudukan.
“Kami mahu menunjukkan pertarungan untuk setiap minit permainan. Dalam permainan seperti ini kami sekali lagi membuktikannya,” kata Farrell selepas England mencatatkan 12 kemenangan dalam 13 pertemuan terakhir pasukan tersebut.
Sementara itu, pengendali England, Steve Borthwick mengakui kedua-dua pasukan tidak menampilkan permainan berkualiti sebaliknya aksi yang penuh dengan intensiti tinggi.
“Penghargaan kepada Argentina untuk cara bermain dan cara mengharungi kejohanan ini. Anda boleh lihat aksi bertenaga kedua-dua pasukan yang mara hingga ke fasa ini, walaupun bukan permainan ragbi klasik yang mengalir bebas, sebaliknya perlawanan yang padat,” katanya.
Dalam pada itu, pengendali Argentina, Michael Cheika berkata: “Kami tidak dapat memberi impak dalam banyak perkara, tetapi masih kekal dalam permainan.
“Cuma saya kecewa dengan cara pengadil permainan dan konsistensi. Saya rasa untuk pemain-pemain, mereka layak mendapat lebih daripada yang mereka dapat hari ini.” - Sinar Harian