Enam individu dicalonkan rebut jawatan exco FAM

Bernama
Mei 25, 2019 05:07 MYT
HAMIDIN: Pemilihan exco baharu itu adalah bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas pengadil FAM, Subkhiddin Salleh.
Enam individu telah dicalonkan untuk merebut satu jawatan exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2019-2021 pada Kongres Tahunan FAM ke-55 pada 13 Julai ini.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata enam individu berkenaan yang memegang jawatan dalam persatuan bola sepak dan kelab, bagaimanapun, boleh menolak pencalonan berkenaan sekiranya mereka tidak berminat untuk bertanding jawatan berkenaan.
Beliau memaklumkan pemilihan exco baharu itu adalah bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas pengadil FAM, Subkhiddin Salleh yang meletakkan jawatan pada November lepas.
"Pihak sekretariat FAM akan mengeluarkan surat kepada keenam-enam calon berkenaan, dan pada 13 Jun ini, kita akan memaklumkan (kepada pihak media) sama ada kesemua enam calon berkenaan akan bertanding ataupun tidak, kerana kesemua mereka dicalonkan oleh persatuan masing-masing," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kelapan bagi penggal 2018-2021 di sini, pada Sabtu.
Enam individu berkenaan adalah pengurus pasukan Polis Diraja Malaysia, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar; Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah, Khamal Idris Ali; Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang, Dr Amar Pritpal Abdullah.
Tiga individu lain adalah exco Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, Syed Yazid Syed Omar; Exco Persatuan Bola Sepak Perak, Hairul Anwar Mohamed Noor; dan Timbalan Presiden 2 Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Marzuki Sulong.
Dalam pada itu, Hamidin memaklumkan ahli exco FAM yang menghadiri mesyuarat pada hari ini turut bersetuju dengan beberapa pindaan Perlembagaan FAM yang akan dipanjangkan kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk tindakan selanjutnya.
Antara pindaan berkenaan, jelas Hamidin adalah berkaitan pencalonan dan kriteria untuk pemilihan jawatan exco FAM.
-- BERNAMA
#exco FAM #FAM #Hamidin Mohd Amin #Persatuan Bola Sepak Malaysia
;