Empat wakil negara mara ke separuh akhir kelayakan Kejohanan Skuasy Dunia

Bernama
April 19, 2024 23:38 MYT
Pertembungan dua wakil Malaysia dalam perseorangan lelaki menyaksikan pilihan kedua Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar menewaskan Darren Rahul Pragasam dengan keputusan 14-12, 7-11, 11-4, 9-11, 11-4. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Empat wakil negara berjaya melangkah ke separuh akhir Kelayakan Kejohanan Skuasy Dunia Zon Asia yang berlangsung di Pusat Skuasy Jalan Duta di sini hari ini.
Pertembungan dua wakil Malaysia dalam perseorangan lelaki menyaksikan pilihan kedua Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar menewaskan Darren Rahul Pragasam dalam pertarungan selama 74 minit dengan keputusan 14-12, 7-11, 11-4, 9-11, 11-4.
"Saya patut tamatkan perlawanan di set ketiga tetapi Rahul memang bermain dengan bagus hari ini. Silap saya membiarkan beliau mengatasi saya ketika sedang mendahului.
"Apa pun saya kekal dengan strategi permainan dan tahu lebih cergas daripadanya...saya gunakan segala kelebihan yang ada untuk melakar kemenangan," kata Addeen menerusi kenyataan daripada Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM).
Sementara itu, impian Mohammad Syafiq Mohd Kamal untuk mengejutkan pilihan ketiga kejohanan dari Hong Kong, Tan Ming Hong tidak kesampaian apabila tewas tipis 11-7, 5-11, 11-7, 8-11, 9-11 selepas beraksi selama 78 minit. Tan akan mencabar Muhammad Addeen Idrakie, esok.
Dalam satu lagi pertembungan antara wakil Malaysia, Bryan Lim Tze Kang menyingkirkan Ong Sai Hung dengan keputusan 11-8, 9-11, 6-11, 11-4, 11-6.
Pemain berusia 28 tahun itu bakal menghadapi cabaran lebih besar menentang pilihan pertama Ryunosuke Tsukue dari Jepun, esok.
Bagi perseorangan wanita, Chan Yi Wen mengambil masa 40 minit untuk meloloskan diri ke separuh akhir selepas menewaskan wakil Hong Kong, Fung Ching Hei 11-9, 8-11, 11-3, 11-9 dan bakal bertemu satu lagi wakil Hong Kong, Cheng Nga Ching yang juga pilihan pertama kejohanan.
Dalam pada itu, pemain muda meningkat naik Sehveetrraa Kumar, 19, membuat kejutan apabila menyingkirkan pilihan kedua kejohanan dari India, Akanksha Salunkhe 11-6, 11-5, 11-8 dalam tempoh 38 minit.
Sehveetrraa bakal berdepan pemain Hong Kong, Toby Sze di separuh akhir esok.
"Ini pencapaian terbesar dalam karier saya, berjaya mara ke separuh akhir dalam Kelayakan Kejohanan Dunia. Ia juga kemenangan pertama ke atas Akanksha dan saya bangga dengan prestasi saya di gelanggang hari ini.
"Lawan saya esok adalah Toby, kami sering bertemu sebelum ini tetapi hingga kini saya masih belum berjaya mengatasinya. Saya hanya mahu teruskan momentum ini dan tidak terlalu memikirkan sangat mengenai kemenangan," kata Sehveetrraa.
-- BERNAMA
#wakil negara #kejohanan skuasy dunia #Separuh Akhir
;