Empat pemain senior perkuat skuad hoki Sukan SEA 2023

Bernama
Mac 31, 2023 10:03 MYT
Mohd Nasir memberikan kata-kata semangat kepada skuad hoki negara pada lawatannya bertemu skuad tersebut di Stadium Hoki Nasional Kuala Lumpur, 30 Mac 2023. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Khidmat empat pemain senior hoki negara yang pernah beraksi pada kejohanan besar, ditagih bagi membimbing pemain remaja pada kempen Sukan SEA di Phnom Penh, Kemboja pada 5 hingga 17 Mei ini.
Pengendali skuad Sukan SEA Kemboja 2023 Muhammad Amin Rahim berkata pembabitan pemain senior pada temasya dwitahunan itu bakal menjadi pencetus kejayaan menghadirkan pingat emas buat negara sekali gus mengekalkan penguasaan bergelar pasukan terkuat Asia Tenggara.
Menurutnya, pada edisi kali ini kelibat pemain senior Muhamad Ramadan Rosli (pemain tengah), Muhamad Zaimi Mat Deris (penjaga gol) serta Muhammad Najib Abu Hassan dan Muhammad Amirul Hamizan Azahar (masing-masing pertahanan) akan turun memperkukuhkan keampuhan pasukannya.
"Mereka akan turut serta dalam pasukan selepas cuti raya nanti. Saya tak risau kerana mereka juga menjalani latihan yang sama di mana konsep dan corak permainan juga sama dan saya tidak nampak sebarang kesukaran pemain senior untuk biasakan diri bila bersama (skuad remaja) nanti.
"Saya harap dengan kehadiran pemain senior akan membantu pasukan ini untuk meraih pingat emas buat negara," katanya semasa sesi lawatan Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA 2023 Datuk Mohd Nasir Ali di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Sementara itu Pengurus Pasukan I.Vikneswaran berharap aura positif kehadiran pemain senior bakal diserap sepenuhnya oleh barisan pemain remaja sedia ada dalam mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kempen Sukan SEA itu nanti.
"Biasanya dalam setiap Sukan SEA yang kita lihat, pemain-pemain senior adalah sangat penting di mana mereka merupakan 'stabilising factor' buat pasukan.
"Skuad Sukan SEA ini kebanyakan ramai pemain muda jadi kalau apa-apa berlaku, mereka (pemain senior) ada untuk membimbing. Ikutkan daripada segi kemampuan pasukan ini sudah mampu (capai kejayaan) namun kita perlu memastikannya," katanya.
Skuad hoki negara merupakan kuasa besar di temasya Sukan SEA dengan memegang rekod memenangi 16 pingat emas sejak 1971.
Kali terakhir Malaysia meraih emas adalah di Kuala Lumpur 2017 manakala kali pertama meraih warna pingat sama pada 1971, juga ketika Malaysia menjadi tuan rumah.
-- BERNAMA
#Muhammad Amin Rahim #sukan sea 2023 #hoki #pemain senior
;