Empat pemain EPL digantung FIFA

Sinar Harian
Februari 15, 2022 14:02 MYT
Pada perlawanan yang berlangsung pada September lalu, aksi antara Argentina dan Brazil yang baru berlangsung selama enam minit terpaksa dibatalkan apabila pegawai kesihatan masuk ke dalam padang untuk menahan empat pemain berkenaan. - Gambar hiasan
EMPAT pemain Liga Perdana Inggeris digantung dua perlawanan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas didapati menjadi punca perlawanan antara Brazil dan Argentina pada September lalu dibatalkan.
Pemain yang digantung itu adalah bintang Tottenham Giovani Lo Celso dan Christian Romero, serta dua pemain Aston Villa Emiliano Martinez dan Emi Buendia.
"Selepas siasatan terperinci dilakukan, Jawatankuasa Disiplin FIFA memutuskan perlawanan itu perlu diadakan semula pada tarikh dan lokasi yang akan diputuskan kelak.
"Kami juga memutuskan untuk menggantung pemain Argentina Emiliano Buendía, Emiliano Martínez, Giovani Lo Celso dan Cristian Romero untuk dua perlawanan kerana tidak mematuhi protokol," kata FIFA.
Pada perlawanan yang berlangsung pada September lalu, aksi antara Argentina dan Brazil yang baru berlangsung selama enam minit terpaksa dibatalkan apabila pegawai kesihatan masuk ke dalam padang untuk menahan empat pemain berkenaan.
Ia selepas kesemua mereka didapati melanggar peraturan Liga Perdana Inggeris yang melarang mereka mengembara ke negara-negara berisiko tinggi COVID-19 termasuk Brazil ketika itu berada dalam senarai merah United Kingdom.
Pemain-pemain berkenaan juga difahamkan melanggar peraturan COVID-19 di Brazil yang mana mereka sepatutnya dikuarantin 14 hari sebaik memasuki negara berkenaan.
Persatuan bola sepak kedua-dua negara turut didenda kerana kegagalan mengikut arahan dan memastikan keselamatan - Brazil didenda 300,000 pound (RM1.70 juta) dan Argentina 160,000 pound (RM907,649).
Artikel asal di Sinar Harian
#pemain bola sepak digantung #FIFA #EPL #langgar peraturan COVID-19
;