Empat lagi atlet olahraga layak secara merit ke Hanoi
Bernama
Mac 6, 2022 05:03 MYT
Mac 6, 2022 05:03 MYT
KUALA LUMPUR: Empat atlet olahraga kebangsaan berjaya layak secara merit untuk beraksi di Sukan SEA Hanoi, Mei depan, berdasarkan pencapaian mereka pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ke-97 di sini.
Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata mereka yang mengungguli acara masing-masing itu terdiri daripada tiga atlet lelaki iaitu M. Avinesh Austin (800 meter), Farm Loong Deng (lontar peluru) dan Muhaizar Mohamad (marathon) serta Norliana Kamaruddin (heptatlon) yang merupakan satu-satunya atlet wanita menempah slot ke temasya dwitahunan itu, pada hari terakhir kejohanan tersebut semalam.
Beliau berkata jumlah itu menjadikan keseluruhan 22 atlet olahraga negara telah layak ke Vietnam bagi acara masing-masing menerusi kategori A (kos ditanggung sepenuhnya).
"Sepanjang dua hari kejohanan berlangsung bermula semalam, kami dapat lihat persaingan hebat terutamanya empat atlet yang telah dapat ke Hanoi bagi kategori A walaupun keadaan cuaca tidak mengizinkan.
"Atlet muda juga nampaknya sedia beri tentangan sengit kepada atlet senior dan dalam beberapa acara pada kejohanan ini dan secara tidak langsung memberi petanda baik untuk sukan olahraga kita," katanya ketika ditemui pemberita selepas kejohanan itu tamat, semalam.
Kejohanan berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, itu menyaksikan nama-nama besar seperti Muhammad Haiqal Hanafi (100m), Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar), serta dua atlet lompat tinggi iaitu Lee Hup Wei (lelaki) dan Yap Sean Yee (wanita) gagal melepasi had kelayakan ditetapkan ke Hanoi.
Bagaimanapun, Mohd Manshahar berkata peluang atlet yang tidak berjaya layak secara merit masih ada namun ia bergantung kepada penilaian Jawatankuasa Pemilihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang akan bermesyuarat hari ini bagi menentukan senarai akhir.
Menurutnya, mereka yang diberi peluang kedua itu dijangka dihantar ke Vietnam di bawah kategori B (kos dipulangkan jika memenangi pingat).
Dalam pada itu, Mohd Manshahar memaklumkan terdapat beberapa kejohanan tempatan yang bakal menjadi medan persediaan kesemua atlet yang layak ke Sukan SEA Hanoi.
Beliau juga menolak keperluan menghantar atlet ke pertandingan di benua Eropah sebelum ke Sukan SEA, dan lebih rela melihat mereka beraksi dalam kejohanan di peringkat Asia.
"Sekiranya beraksi di Eropah, kami perlu buat persediaan awal sejak Disember lepas termasuk proses dokumentasi namun saya lebih suka atlet bertanding dalam kejohanan di Asia kerana suasana serta cuaca dilihat sama seperti di Vietnam," katanya.
Walaupun tidak layak secara merit, Hup Wei berkata beliau tetap berpuas hati dapat mencatat rekod peribadi musim terbaiknya kali ini dengan lompatan 2.10m, kurang 0.05m daripada had kelayakan ditetapkan ke Sukan SEA Hanoi.
"Saya bersedia untuk pergi tetapi semuanya bergantung kepada mesyuarat KOM esok, sekiranya saya tidak terpilih ke Sukan SEA, saya rasa saya akan bersara," katanya.
Juara bertahan Sukan SEA yang merangkul perak dalam kejohanan itu memaklumkan kecederaan pada tapak kaki serta cuaca hujan sedikit sebanyak menjejaskan prestasinya semalam.
Sementara itu, lontaran 16.27m dilakar jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli tidak berupaya menyaingi kehebatan Farm Loong apabila membuat lontaran 16.74m untuk merangkul emas manakala Jonah Chang Rigan dari Sarawak meraih gangsa (15.66m).
Selepas muncul ratu pecut kejohanan, pelari Singapura, Pereira Veronica Shanti, terus membuktikan kehebatannya apabila menjuarai acara 200m dengan catatan masa 24.69 saat (s) meninggalkan Erissca Peter dari Sarawak untuk perak (25.43s) dan gangsa milik atlet Pahang Darshini K. Murugam (26.08s).
Keputusan:
200m lelaki:
Emas: Muhammad Azeem Mohd Fahmi (PRK) - 21.63s
Perak: Jonathan Nyepa (ATM) - 21.70s
Gangsa: Tan Zong Yang (SGP) - 21.83s
800m lelaki:
Emas: M. Avinesh Austin (SEL) - 1:50.48s
Perak: Wan Muhammad Fazri Wan Zahari (KEL) - 1:53.77s
Gangsa: Jeff Lim Zhe Yu (SEL) -2:00.98s
800m wanita:
Emas: J. Padhmaloshini (JHR) - 2:20.15s
Perak: Hong Xyan (PNG) - 2:29.68s
Gangsa: Jerusha Olive Jason (SEL) - 2:36.96s
Heptatlon wanita:
Emas: Norliana Kamaruddin (NS) - 4839 mata
Perak: Mazween Ubong Lah (SWK) - 3758 mata
Gangsa: Nur Syazira Zulhaini (PER) - 3475 mata
Lontar peluru wanita:
Emas: Nani Sahirah Maryata (PHG) - 12.67m
Perak: Nurrul Ainin Syauqina Mohd Nor Azahar (PHG) - 11.17m
Gangsa: Nurul Aqma Mohd Nizam (KDH) - 10.74m
Rejam lembing lelaki:
Emas: Syed Abrar Syed Ahmad Zawawi (PER) - 56.84m
Perak: Mohd Alif Mohd Razi (SBH) 56.32m
Gangsa: Chua Yi Xian (MEL) 53.06m
400m lari berpagar lelaki:
Emas: Quek Jun Jin Calvin (SGP) - 52.35s
Perak: Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi (JHR) - 55.94s
Gangsa: Mohd Irfan Izzan Mohd Fetry (SBH) - 56.41s
400m lari berpagar wanita:
Emas: Nor Shakiratul Aina Mohamad Asri (TRG) - 65.63s
Perak: Frenynila Sherly Lucius (SBH) - 67.79s
Gangsa: Nur Nasyatul Nadia Nasri (KDH) - 69.50s
Lompat kijang lelaki:
Emas: Andre Anura @ Anuar (SBH) - 16.09m
Perak: Brendon Ting Li King (SWK) - 15.62m
Gangsa: Mohd Shah Sholihin Azshar (PRK) - 15.11m
-- BERNAMA
#Sukan SEA Hanoi
#atlet olahraga Malaysia
#Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia
#mohd manshahar abdul jalil