Empat kekalahan berturut-turut paksa Inter Miami pecat Phil Neville

Astro Arena
Jun 2, 2023 08:30 MYT
Reaksi Phil Neville ketika memantau perlawanan bola sepak MLS antara Inter Miami dan CF Montreal di Montreal, 27 Mei 2023. - Gambar fail AP
PHIL Neville telah dipecat daripada mengendalikan kelab MLS, Inter Miami.
Pengendali berusia 46 tahun itu telah dihukum ekoran prestasi mengecewakan, dengan kekalahan 1-0 kepada New York Red Bulls terbukti aksi terakhirnya bersama kelab.
Neville, yang dilantik pada Januari 2021 selepas meletakkan jawatan sebagai pengurus skuad wanita England, menyaksikan kelab kendaliannya berada di tangga terbawah Eastern Conference berikutan empat kekalahan berturut-turut.
Pemilik bersama David Beckham, yang merupakan bekas rakan sepasukan Manchester United dan England serta rakan Neville, berkata ia adalah masa yang sesuai untuk membuat perubahan.
“Apabila kami melantik Phil, kami tahu dia akan memberikan segalanya kepada Inter Miami dan saya telah melihatnya bekerja keras dan dengan komitmen sebenar terhadap cita-cita yang kami sediakan untuk kelab itu,” katanya di laman web rasmi kelab.
“Dia dan keluarganya diterima Miami dan dia telah berusaha untuk membawa kejayaan kepada bandar dan peminat kami. Phil telah memberikan sumbangan sebenar kepada budaya kelab kami dengan kualitinya sebagai pemimpin dan pengetahuan sebagai jurulatih.
“Kadang-kadang dalam permainan ini kami perlu membuat keputusan yang paling sukar dan malangnya kami berasakan masa yang sesuai untuk membuat perubahan.
"Saya secara peribadi ingin mengucapkan terima kasih kepada Phil atas kerja kerasnya, semangatnya untuk kelab kami dan untuk integritinya sebagai seorang individu.”
#Phil Neville #empat kekalahan berturut-turut #Inter Miami #David Beckham
;