Empat juara dunia dalam tiga kelas berat berbeza, UFC 259 acara paling gah setakat ini
Hilmi Ismail
Mac 4, 2021 18:37 MYT
Mac 4, 2021 18:37 MYT
AHAD ini bakal menyaksikan satu lagi acara 'pay-per-view' (PPV) anjuran UFC, sebuah organisasi sukan seni bela diri campuran (MMA) terbesar dunia.
Acara UFC 259 dijadualkan berlangsung di UFC Apex di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat akan bersiaran seawal tujuh pagi bagi segmen prelims awal, sembilan pagi untuk segmen prelims dan diikuti segmen utama pada pukul 11 pagi.
Acara utama bagi UFC 259 adalah merupakan pertarungan antara juara bertahan kelas light heavyweight, Jan Błachowicz dan juara kelas tengah (middleweight), Israel Adesanya.
Bagi Błachowicz, 38, yang berasal dari Poland, ini merupakan pertarungan pertamanya sebagai penyandang kejuaraan setelah berjaya bergelar juara light heavyweight pada September 2020.
Manakala bagi Adesanya, 31, pula dia memilih untuk mencabar dirinya sendiri dengan naik ke kelas light heavyweight.
Sebagai juara bertahan kelas tengah, petarung kelahiran Lagos, Nigeria itu telah berjaya mempertahankan kejuaraannya sebanyak dua kali dalam tempoh tujuh bulan.
Pertarungan Błachowicz Adesanya ini memang di tunggu-tunggu kerana ia bakal membuktikan sama ada Błachowicz mampu menyekat kemaraan Adesanya atau pun tidak.
Untuk Adesanya, dia pasti akan bertarung 'bermati-matian' untuk bergelar juara dunia dalam kelas berat yang berbeza sekali gus menempatkan namanya sebagai petarung MMA terbaik sepanjang zaman.
Tidak hanya terhenti disitu, UFC 259 menjanjikan dua lagi pertarungan merebut kejuaraan.
Dalam acara utama bersama, UFC menyajikan pertarungan antara petarung wanita terbaik yang pernah 'lahir' dalam sukan MMA, Amanda Nunes dari Brazil dan petarung yang sedang meningkat naik, Megan Anderson.
Nunes, 32, merupakan juara dalam dua kelas berat berbeza dan dia bakal meletakkan kejuaraannya bagi kelas featherweight untuk dicabar Anderson, 31, yang berasal dari Australia.
Ini merupakan kali kedua Nunes mempertahankan kejuaraan featherweight miliknya sejak memenanginya pada Disember 2018.
Untuk Anderson pula, ini merupakan kali pertama dia diberi peluang untuk mencabar kejuaraan selepas berjaya menang dua pertarungan berturut-turut sebelum ini.
Jika Nunes menang dan mengekalkan status sebagai juara, jolokan 'greatest of all time' bagi petarung MMA wanita yang sering diperdebatkan sebelum ini, memang layak diberikan kepada Nunes.
Bagi Anderson pula, membawa pulang status juara dunia ke Australia pasti menjadi pembakar semangat buatnya, lebih-lebih lagi setelah seorang lagi petarung dari Australia, Robert Whittaker gagal mempertahankan kejuaraannya apabila tewas pada Oktober 2019.
Satu lagi pertarungan bagi merebut kejuaraan dalam acara ini adalah bagi kelas bantamweight.
Juara bertahan dari Rusia, Petr Yan bakal dicabar petarung dari Amerika Syarikat, Aljamain Sterling.
Dua petarung bertaraf antarabangsa ini terkenal dengan aksi lincah dan pertarungan ini pasti menghiburkan buat peminat sukan tempur.
Dengan tiga pertarungan merebut kejuaraan sudah boleh membuatkan peminat UFC ternanti-nanti akan berlangsungnya acara ini.
Namun pertarungan lain yang dijadualkan berlangsung dalam acara yang sama, mampu membuatkan penonton 'melekat' di depan kaca TV dari awal hingga akhir.
Antara pertarungan lain yang melibatkan petarung yang mempunyai nama besar dalam MMA adalah seperti Islam Makhachev, Thiago Santos, Aleksandar Rakić, Dominick Cruz, Song Yadong dan Joseph Benavidez.
Peminat UFC di Malaysia juga berpeluang menyaksikan acara UFC 259 secara langsung melalui saluran sukan di Astro.
#UFC
#UFC 259
#pay per view
#PPV
#Las Vegas
#juara dunia
#MMA
#Mixed Martial Arts
#seni bela diri campuran
#Israel Adesanya
#Amanda Nunes
#Islam Makhachev