Empat atlet terpilih ke Kejohanan Tenpin Komanwel ke-6

Bernama
Januari 30, 2013 06:31 MYT
Empat atlet tenpin boling terpilih mewakili negara dalam Kejohanan Tenpin Boling Komanwel Keenam anjuran Persekutuan Tenpin Boling Komanwel (CTBF) dari 24 Feb hingga 3 Mac ini di Auckland, New Zealand.
Mereka ialah Dayang Khairuniza Dhiyana Abang Jamalidon, Siti Shazwani Ahmad Suhaimi, Isaac Russell Paul dan Muhammad Rafiq Ismail.
Jurulatih kebangsaan Holloway Cheah ketika dihubungi Bernama hari ini berkata atlet-atlet baharu dihantar menyertai kejohanan itu untuk memberikan mereka lebih pendedahan dan pengalaman dalam kejohanan besar.
"Walaupun mereka pasukan muda dan baharu, namun tiga daripada mereka merupakan atlet elit, hanya Muhammad Rafiq masih baharu dalam skuad elit," katanya.
Cheah berkata agak sukar menjangka apa yang bakal berlaku, namun beliau yakin mereka akan meraih beberapa pingat di kejohanan itu walaupun berdepan saingan hebat atlet negara luar.
Antara negara yang akan menjadi pesaing terhebat Malaysia ialah England, Singapura, Afrika Selatan dan Kanada.
"Bagi menghadapi kehebatan atlet luar dan menambah kecekapan, pasukan Malaysia menjalani latihan sejak tahun lepas hingga sekarang," kata Cheah.
Untuk rekod, Malaysia meraih dua pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa pada kejohanan sama dua tahun lepas di sini.
Pingat emas Malaysia diperoleh menerusi Zulmazran Zulkifli dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, masing-masing dalam acara individu lelaki dan wanita.
#CTBF #Holloway Cheah #Kejohanan Tenpin Boling Komanwel