Empat atlet Perak bawa Jalur Gemilang ke Sukan Olimpik Khas Dunia
Amirrul Rabbani
Jun 7, 2023 19:18 MYT
Jun 7, 2023 19:18 MYT
IPOH: Empat atlet dari negeri Perak antara yang akan mewakili negara pada Sukan Olimpik Khas Dunia yang berlangsung di Berlin, Jerman pada 17 hingga 25 Jun ini.
Mereka adalah, Nur Ameer Muqsiq Baharuddin, 19; Nuraslina Mohd Sapri, 19; Wafi Anas Mohd Khairul Anuar, 15 serta S Raevenkumar, 19.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata kerajaan negeri berharap agar empat atlet itu akan menyinar dan membawa kejayaan buat negara pada temasya sukan antarabangsa itu.
“Mewakili Kerajaan Negeri Perak, saya berasa bangga atas pencapaian atlet-atlet dalam kalangan pelajar kelainan upaya ini yang mana mereka telah berjaya mencapai tahap yang cukup baik (untuk bertanding mewakili negara).
“Jadi, kita berdoa dan berharap agar kembalinya mereka dari Berlin nanti akan membawa kejayaan. Ia seterusnya akan menjadi satu pengiktirafan yang terbaik buat mereka, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), kerajaan negeri, pengurusan dan semua pihak yang terlibat,” katanya.
Beliau terdahulu menerima kunjungan daripada keempat-empat atlet berkenaan bersama pengiring yang turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Khas JPN Perak, Eni Zanifah Mohd Jaberi di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini pada Rabu.
Pada kunjungan itu Khairudin turut menyampaikan insentif tunai bernilai RM300 kepada setiap seorang atlet dan pengiring yang akan beraksi di Sukan Olimpik Khas Dunia di Berlin.
Sementara itu, Guru Pengiring, Azhar Ahmad berkata pemilihan empat atlet oleh Olimpik Khas (SO) Perak itu dibuat susulan pencapaian membanggakan mereka pada Sukan Olimpik Khas Malaysia di Melaka pada Ogos lepas.
Beliau yang juga jurulatih sukan bocce berkata kesemua atlet yang dipilih mewakili negara itu telah mula menjalani pelbagai siri latihan sejak tahun lalu.
“Untuk mereka yang kelainan upaya ini kita harus menjaga emosi dan fokus mereka agar sentiasa berada pada tahap terbaik. Bagaimanapun saya bersyukur mereka memberi kerjasama (dalam siri-siri latihan),” katanya.
Pada masa sama, atlet, Nur Ameer berkata beliau berasa teruja kerana impian untuk mewakili negara dalam Sukan Olimpik Khas Dunia sudah diimpikannya sejak empat tahun lalu.
Atlet istimewa yang mengalami ketidakupayaan pembelajaran itu mengakui berasa gementar tatkala membawa nama negara ke temasya dunia namun, beliau berharap akan mampu mempamerkan aksi terbaik bagi acara acara larian 100 meter (m), 4x100 m dan lompat jauh yang disertainya.
“Saya bersyukur dan terharu atas peluang yang diberikan untuk membawa nama negara dalam Sukan Olimpik Khas Dunia itu nanti.
“Sejak tahun lalu saya sudah menjalani rutin latihan bersama jurulatih, S. Manogaran dan insya-Allah saya yakin akan melakukan sehabis baik untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” katanya yang menjadikan atlet sensasi dunia Usain Bolt sebagai idola.
Sukan Olimpik Khas Dunia merupakan temasya sukan khusus bagi orang kurang upaya (OKU) yang mempertandingkan 26 acara termasuk badminton, olahraga, boling dan berbasikal.
Atlet Olimpik Khas Malaysia akan bersaing dengan 7,000 atlet dari 190 negara dalam enam acara sukan iaitu renang, bocce, badminton, olahraga, pingpong dan boling.