Emman ketuai cabaran negara di kejohanan gusti 'New Breed'

Bernama
Januari 19, 2023 06:30 MYT
Pada 26 Nov lalu, Emman berjaya menjuarai Intercommonwealth MCW, manakala Sabtu lalu meneruskan rentak cemerlang dengan meraih gelaran Running Elbow KL Gold pada Kejohanan PUZZLE Pro Wrestling di Taiwan. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Juara Intercommonwealth Melbourne City Wrestling (MCW), Emman Azman, akan mengetuai cabaran negara pada kejohanan gusti 'New Breed' yang akan dianjurkan buat julung kali di Kuash Theatre, Taman Tun Dr Ismail, di sini, pada 18 Feb depan.
Emman, yang diberi julukan 'Golden Boy', akan turut disertai sembilan penggusti tempatan untuk bersaing bersama 12 penggusti dunia dari lima negara iaitu Australia, Singapura, Filipina, Jepun dan Emiriah Arab Bersatu.
Pengarah, My Pro Wrestling (MYPW) Sdn Bhd, Datin Maria Abdullah memaklumkan Emman akan berentap untuk mempertahankan tali pinggang kejuaraan menentang ahli gusti dari Singapura, Greg Glorious.
"MYPW turut berhasrat membuka kerjasama dengan mana-mana syarikat korporat untuk menaja kejohanan ini, seterusnya menyokong usaha kerajaan dalam melibatkan belia atau anak muda dalam aktiviti kesukanan seperti gusti," katanya, menerusi kenyataan, semalam.
Orang ramai yang berminat menonton kejohanan gusti itu boleh membuat pembelian tiket di https://www.myticketempire.com bermula Jumaat ini, pada harga RM80, RM100 dan RM150.
Pada 26 Nov lalu, Emman berjaya menjuarai Intercommonwealth MCW, manakala Sabtu lalu meneruskan rentak cemerlang dengan meraih gelaran Running Elbow KL Gold pada Kejohanan PUZZLE Pro Wrestling di Taiwan.
-- BERNAMA
#Emman Azman #gusti #New Breed #Kuala Lumpur
;