Emery pernah dikritik dan bangkit
Astro Arena
November 10, 2019 09:05 MYT
November 10, 2019 09:05 MYT
LEICESTER CITY 2 ARSENAL 0
Unai Emery masih tenang biarpun sedang mengalami tekanan di Arsenal sambil menegaskan dia mampu mengubah nasib pasukan itu kerana pernah melakukannya sebelum ini.
Skuad The Gunners itu tumpas 0-2 kepada Leicester City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium King Power awal pagi tadi untuk ketinggalan enam mata daripada kelompok empat teratas.
Ia juga merupakan rekod permulaan terburuk Arsenal dalam liga divisyen utama sejak musim 1982-83 -- hanya meraih 17 mata selepas 12 perlawanan.
Dalam perlawanan itu, Arsenal amat jarang dapat menggugat penjaga gol Leicester, Kasper Schmeichel, dan bernasib baik hanya dibolosi dua gol, namun Emery yakin dia mampu mengembalikan pasukan itu ke landasan yang sepatutnya.
"Saya berkata kepada kelab ini untuk kekal tabah dan bangkit," katanya kepada wartawan selepas tamat perlawanan.
"Kami juga mempunyai pemain muda yang sedang berkembang bersama kami.
"Saya sedar kami sedang dikritik, saya pernah melaluinya dan bangkit.
"Saya menerima setiap kritikan. Ia normal.
"Hari ini, kami tidak melangkah ke depan tetapi semakin baik sewaktu bertahan," katanya.
Kemenangan itu melonjakkan Leicester ke tangga kedua dan Emery menyedari jurang pasukannya dengan kelompok atasan liga itu semakin terserlah.
"Kami ketinggalan agak jauh di belakang mereka tetapi kami akan mengambil masa untuk bersedia dan meningkat serta mencipta keseimbangan dalam pasukan.
"Manchester United dan Tottenham juga di belakang kami, jadi ia persaingan yang seimbang.
"Tetapi kami mempunyai masa untuk mengecilkan jurang dengan Leicester," tambahnya.