Emas yang amat menyakitkan, umpama bunuh diri - Welson Sim
Bernama
Ogos 24, 2017 10:03 MYT
Ogos 24, 2017 10:03 MYT
Umpama tindakan membunuh diri bagi jaguh renang Malaysia, Welson Sim dalam aksinya pada 25 meter terakhir sebelum menyentuh dinding kolam renang pada acara 200m gaya bebas lelaki di Pusat Akuatik Negara, Bandar Sukan KL, Bukit Jalil malam ini.
Perenang berusia 20 tahun dari Sarawak itu memecahkan rekod kejohanan dalam keadaan yang menyakitkan dengan catatan satu minit 47.49 saat untuk memadam rekod 1:48.96s sebelum ini yang dicipta perenang Vietnam, Hoang Quy Phuoc di Sukan SEA Singapura 2015.
Welson tidak boleh berdiri tegak selepas acara itu kerana paha dan kakinya mengalami kekejangan.
"Saya boleh katakan di akhir 50m adalah saat yang paling menyakitkan dan paling tidak dapat dilupakan dalam kerjaya renang saya. Saya tidak pernah merasa begitu sakit di akhir 50m terutama pada akhir 25m kerana saya berenang dengan laju pada 100m pertama untuk mengejar perenang Vietnam sebab saya tidak boleh membiarkan dia terlalu jauh dari saya.
Dia (Hoang) seorang perenang pecut dan saya pula lebih kepada perenang jarak sederhana. Biasanya dia berenang lebih pantas daripada saya tetapi dalam perlumbaan ini saya tidak mahu membiarkan jarak dia dengan saya terlalu jauh dalam 50m terakhir, jika dia terlalu jauh di depan saya dia akan mendapat kelebihan dari segi mental, jadi saya terpaksa memerah tenaga saya sehingga hadnya," kata beliau.
Welson akan beraksi dalam 4x200m gaya bebas lelaki pada Khamis dan acara terakhirnya adalah 1,500m gaya bebas Sabtu ini.
"Saya gembira untuk diri saya dan setiap orang yang menyokong saya. 1,500m adalah acara terakhir saya dan sememangnya saya akan berhabis-habisan dalam acara terakhir saya," katanya.
Dalam 200m gaya bebas hari ini, pemegang rekod sebelum ini Hoang memperoleh perak dengan hanya 0.58 saat di belakang Welson sementara Yeo Quan Kai dari Singapura membawa pulang gangsa dengan masa 1:48.98s.
Rakan sepasukannya dan perenang senior, Daniel Bego yang layak dalam tempat kelima saringan pada awalnya, tidak beraksi dan tempatnya digantikan oleh perenang Indonesia , Putera Muhammad Randa yang menamatkan renangannya di tempat kelapan dengan masa 2:02.23s.
Sementara itu jurulatih renang negara, Paul Birmingham mengesahkan Bego mengalami keracunan makanan dan tidak dapat berenang di peringkat akhir.
"Petang ini kami mula memanaskan badan dan dia dalam keadaan 50-50 dan selepas memanaskan badan dia pergi ke bilik persalinan. Perutnya mengalami kekejangan dan dia diberi suntikan, Saya berharap dia boleh berenang untuk 4x200m gaya bebas esok," katanya.
-- BERNAMA