Emas Anuar STL: Adli Abu Bakar tabah hadapi ujian kemalangan maut isteri

Astro Arena
September 1, 2024 07:00 MYT
Adli terlintas untuk bersara daripada sepak takraw berikutan memikirkan keutamaan anaknya yang memerlukan perhatian penuh, namun dia akhirnya membuat keputusan pada saat-saat akhir untuk bersama dengan Kelantan Warriors musim ini. - Astro ARENA
DI sebalik kejayaan memacu Kelantan Warrior menjuarai Emas Anuar Sepaktakraw League (STL) Divisyen 1, tiada lagi insan yang akan membuka pintu rumah untuk menyambut kepulangan Muhammad Adli Abu Bakar.
Dia diangkat sebagai apit kiri terbaik STL Divisyen 1 musim ini berikutan memastikan kejayaan buat Kelantan Warriors.
Biarpun ia satu pencapaian yang menggembirakan tetapi ada rasa tidak sempurna jauh di hati kecilnya.
Enam bulan lalu, Adli kehilangan isterinya akibat kemalangan jalan raya, secara tidak langsung meninggalkan dirinya dan anak kecilnya yang tidak memahami apa-apa untuk meneruskan kehidupan.
Rentetan daripada tragedi hitam itu, Adli terlintas untuk bersara daripada sepak takraw berikutan memikirkan keutamaan anaknya yang memerlukan perhatian penuh.
Namun, dia akhirnya membuat keputusan pada saat-saat akhir untuk bersama dengan Kelantan Warriors musim ini.
Di sebalik kesedihan, kekuatan dan semangat isterinya jugalah yang membawanya kembali ke sukan takraw.
Kenangan manis dan dorongan arwah isterinya membuatkan Adli terfikir untuk bersara tetapi ia bukanlah apa yang dihajati arwah isterinya, Noramalina Rozi.
"Saya masih ingat ketika menang bersama PDRM ketika saya pulang dia akan ucap 'Abang! Tahniah menang.' sambil pegang anak saya.
"Jika dia masih ada pasti saya akan bahagia. Kini apabila saya pulang dia sudah tiada. Banyak kenangan bersama.
"Paling rezeki adalah jurulatih Kelantan tanya saya dan minta tolong agar datang ketika perlawanan, tetapi selepas saya berbincang dengan ibu saya dia kata 'Tiada apa Adli, biar mak bawa pulang anak ke kampung'.
"Rasa seronok tapi tidak cukup lengkap tanpa orang yang kita sayang. Hadiah kemenangan adalah untuk dia dan keluarga saya yang banyak bantu saya," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, di Nadi Weeekend malam tadi.

Feeder terbaik STL Divisyen 1, Adli Abu Bakar sebak kejayaan tidak dapat di rai bersama isteri tercinta yang telah pergi mengadap Ilahi 6 bulan lalu.@ASTROARENA pic.twitter.com/C1F2b1pGTf

— FinaNasrom (@fnasrom) September 1, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#Adli Abu Bakar #Emas Anuar STL #kemalangan maut isteri #Kelantan Warriors
;