ELMS: Jazeman teruja untuk bersaing dalam perlumbaan pertama di Perancis
Bernama
April 13, 2022 04:30 MYT
April 13, 2022 04:30 MYT
KUALA LUMPUR: Pelumba negara Jazeman Jaafar telah bersedia untuk bersaing di perlumbaan European Le Mans Series (ELMS) yang akan bermula Ahad ini (17 April) di Le Castellet, Perancis.
Jazeman yang mewakili pasukan Virage berkata ujian dua hari sebelum ini berjalan lancar dan dia cukup gembira dengan kemajuan yang dicapai dalam beberapa hari terakhir menjelang perlumbaan pertama hujung minggu ini.
"Kami melalui program ujian yang sangat komprehensif dan kami dapat selesaikan semua gaya pemanduan kami yang berbeza kepada persediaan yang sesuai.
"Saya fikir ia akan menjadi keluk pembelajaran baharu bagi kami kerana program ini akan menjadi sangat kompetitif," katanya dalam video yang disiarkan kepada media pada Rabu.
Jazeman yang akan beraksi secara penuh dalam kategori Le Mans Prototype 2 (LMP2) di perlumbaan berkenaan akan bergandingan bersama pelumba Perancis Gabriel Audry dan pelumba Amerika Syarikat Rob Hodes bagi siri perlumbaan di lima negara itu.
Sehubungan itu, pelumba berusia 29 tahun itu berharap mereka akan mencapai keputusan yang memberangsangkan dalam perlumbaan itu walaupun mengetahui dia akan berdepan ujian sengit daripada pesaing lain.
Selain Perancis, perlumbaan ELMS itu akan turut berlangsung di Itali, Sepanyol, Belgium dan Portugal.
-- BERNAMA