Elak cukai, Alexis Sanchez dipenjara 16 bulan
Astro Awani
Februari 7, 2018 06:15 MYT
Februari 7, 2018 06:15 MYT
PENYERANG Manchester United, Alexis Sanchez dikenakan hukuman penjara 16 bulan di Sepanyol selepas mengaku bersalah terhadap penipuan cukai ketika beraksi untuk Barcelona.
Sanchez berjaya mencapai persetujuan dengan Peguam Negara Sepanyol, untuk membayar cukai yang tidak dijelaskan sebelum ini, bernilai £900,000 (RM4.8 juta) dengan tambahan denda 525,000 pound (RM2.8 juta).
Cukai yang gagal dijelaskan itu difahamkan sebahagian pendapatan diperoleh daripada hak cipta imej beliau pada 2012 dan 2013.
Sanchez bagaimanapun tidak perlu melalui hukuman penjara, melainkan dia melakukan kesalahan sama dalam tempoh dua tahun lagi.
Sanchez menyertai Barcelona pada Julai 2011 dan beraksi untuk 150 perlawanan La Liga sebelum berpindah ke Liga Perdana Inggeris tiga tahun kemudian.
Dia didakwa menipu Perbendaraan Sepanyol dengan elak bayar cukai bernilai hampir 1 juta Euro.
Sanchez yang menyertai United dari Arsenal merupakan pemain yang mendapat bayaran tertinggi susulan perpindahannya, dengan pendapatan sekitar 14 juta pound (RM76 juta) selepas cukai.
Pemain berasal dari Chile ini antara sebahagian bintang bola sepak yang jadi buruan pihak berkuasa cukai Sepanyol.
Mereka yang disiasat termasuk Lionel Messi, Cristiano Ronaldo, Jose Mourinho dan Ricardo Carvalho.
Messi sebelum ini pernah dipenjara 21 bulan pada 2016, tetapi hukuman itu diringankan kepada denda, bagi mereka yang melakukan kesalahan pertama.
#Alexis Sanchez
#barcelona
#Cristiano Ronaldo
#cukai
#Jose Mourinho
#Liga Perdana Inggeris
#Lionel Messi
#Manchester United
#sepanyol