Ekuestrian: Delatio ke sukan Olimpik Tokyo?
Bernama
Jun 6, 2021 19:50 MYT
Jun 6, 2021 19:50 MYT
KUALA LUMPUR: Menunggang kuda seumpama anda meneroka di persada langit. Begitulah dapat diibaratkan keserasian antara Delatio dan atlet ekustrian negara yang bakal ke pentas Olimpik Tokyo pada 23 Julai hingga 8 Ogos.
Delatio, kuda yang ditunggangi ekuin negara Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil, telah mengharungi pelbagai momen suka dan duka bersama sejak dua tahun lepas.
Ekuin berusia 41 tahun itu berkata, kuda jantan dengan berat 700kg itu adalah kuda terbaik ditunggangi sepanjang penglibatannya dalam sukan ekuestrian.
Keserasian Delatio dan Qabil Ambak tidak dapat dinafikan lagi apabila membuahkan hasil membanggakan setelah menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga masing-masing pada penyertaan di Piala Dunia Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (FEI) 2019 di Minsk, Belarus dan Kharkiv, Ukraine.
Kini, gandingan negara itu mempunyai misi yang belum selesai apabila kedua-duanya mempunyai tugas untuk 'memukau' juri di temasya Sukan Olimpik Tokyo, bulan depan.
"Delatio sudah berusia 17 tahun dan berada di kemuncak kariernya, ini adalah temasya Olimpik pertama dan terakhir buatnya. Delatio adalah antara kuda terbaik di Eropah dan mempunyai banyak pengalaman di pentas pertandingan," kata pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 itu kepada Bernama.
Berdasarkan laman rasmi FEI.org, kuda hitam itu sebelum ini pernah bergandingan dengan penunggang Britain Emile Faurie dan Sweden Patrick Kittel, menyaksikan pencapaian terbaiknya adalah pada kelayakan Piada Dunia 2017 di London, apabila Faurie dan Delatio buat pertama kalinya mencatatkan skor lebih 80 peratus untuk menamatkan saingan di tempat kedua dengan 80.405 peratus.
Ditanya mengenai persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo, Qabil Ambak berkata masih terlalu awal untuk menetapkan sebarang sasaran kerana buat masa ini beliau mahu menumpukan kepada usaha bagi mendapatkan tempatnya sebelum membuat penampilan sulung di temasya berprestij itu.
Atlet ekuestrian dari Kuala Lumpur itu berharap untuk mendapatkan sijil kelayakan dan memperoleh sekurang-kurangnya 66 peratus mata dalam acara CDI (International Dressage) di Le Mans, Perancis dari 19-21 Jun.
Jika berjaya lepasi halangan tersebut, beliau boleh berbangga menjadi rakyat Malaysia pertama bersaing dalam acara ekuestrian di temasya sukan terbesar dunia itu.
Qabil Ambak telah dinamakan sebagai pengganti dalam acara dressage oleh FEI selepas seorang daripada dua penunggang yang telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo melalui Kumpulan G kejohanan kelayakan untuk zon Asia Tenggara dan Oceania pada 2019 menarik diri baru-baru ini.
-- BERNAMA
#delatio
#kuda
#Qabil Ambak
#ekuestrian
#Olimpik
#Olimpik Tokyo
#Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil
#sukan
#sukan berkuda