Ejen tersalah tanda kotak pada borang pengisytiharan perjalanan - Djokovic

Hasimi Muhamad
Januari 12, 2022 12:33 MYT
Djokovic berkata, apa yang berlaku disifatkan sebagai kesilapan manusia dan tentunya tidak disengajakan. - Gambar AP
PEMAIN tenis dunia, Novak Djokovic pada Rabu memaklumkan wakil ejennya tersalah menanda bahagian kotak pada borang pengisytiharan perjalanan sebelum ke Australia.
Ia sekali gus menjawab tanda tanya mengapa pemain nombor satu dunia itu tidak berada dalam pengasingan selepas disahkan positif COVID-19 pada Disember lalu.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Instagramnya, Djokovic, 34, berkata, apa yang berlaku disifatkan sebagai ‘kesilapan manusia dan tentunya tidak disengajakan’.
Jelas pemain warga Serbia itu lagi, pasukannya akan memberikan maklumat tambahan kepada kerajaan Australia hari ini berhubung perkara tersebut.
“Saya ingin menekankan bahawa saya telah berusaha keras untuk memastikan keselamatan semua orang dan pematuhan saya terhadap kewajipan menjalani ujian," tulis Djokovic dalam hantarannya itu.
Mengulas lanjut, Djokovic berkata, borang pengisytiharan perjalanannya dikemukakan oleh pasukan sokongan bagi mewakilinya, seperti yang dimaklumkan kepada pegawai imigresen semasa ketibaannya di negara itu.
Sehubungan itu, dia berkata, ejennya dengan rendah hati memohon maaf atas kesilapan pentadbiran yang berlaku berhubung maklumat sejarah perjalanannya.
Djokovic mendapat pengecualian vaksin untuk memasuki Australia selepas disahkan positif COVID-19 pada 16 Disember.
Dia menang dalam kes ke atas kerajaan Australia yang membatalkan visa kemasukannya ke negara itu, sekali gus menamatkan penahanannya.
Bagaimanapun, peguam kerajaan Australia memberitahu mahkamah bahawa Menteri Imigresen, Alex Hawke mungkin masih boleh menggunakan kuasa peribadinya untuk membatalkan sekali lagi visa Djokovic.
Djokovic tiba di negara itu minggu lalu bagi beraksi dalam saingan Terbuka Australia yang dijadual bermula 17 Januari ini.
#Novak Djokovic #Djokovic positif COVID-19 #Terbuka Australia #Sukan tenis
;