Eddy Choong wira badminton sejati

Bernama
Januari 28, 2013 21:49 MYT
Walaupun berbadan kecil, ketangkasan dan kelincahan legenda badminton negara Datuk Eddy Choong, menumpaskan lawan yang mempunyai fizikal yang lebih besar dan tinggi masih segar dalam fikiran peminat badminton tanah air.
Dengan hanya ketinggian lima kaki empat inci, juara empat kali berturut-turut edisi 1953, 1954, 1956 dan 1957 Kejohanan Badminton All-England mampu mengegarkan gelanggang badmintion, Empress Hall, Kota London pada era-1950 yang sebelum ini dikuasai pemain dari negara benua Eropah.
Kini Malaysia kehilangan wira badminton apabila Choong, 83, meninggal dunia di pusat pakar Loh Guan Lye di Pulau Pinang Isnin akibat sakit tua.
Mendiang meninggalkan isteri Datin Maggie Thean Sun Lin, 79, dan empat orang anak lelaki Finn Choong, 53, Lionel Choong, 51, Jorgen Choong, 46, dan Antonio Choong, 37.
Selain berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah bagi acara perseorangan lelaki Kejohanan All-England, anak jati Pulau Pinang itu juga menyandang gelaran juara bagi acara beregu selama tiga tahun berturut pada tahun 1951, 1952, dan 1953 bersama adiknya David Choong.
Mendiang juga adalah anggota pasukan Piala Thomas Malaya, pada tahun 1955 beliau dan pasukannya berjaya mempertahankan gelaran berpasukan dunia itu selepas mengalahkan Denmark 8-1 di Singapura.
Namun pasukan gagal mempertahankan gelaran tersebut pada edisi 1958 setelah tumpas 3-6 ke atas Indonesia di Singapura dan Choong bersara dari skuad kebangsaan dua tahun kemudian iaitu pada pertengahan tahun 1960.
Mendiang pernah menerima penghormatan tertinggi sebagai penerima anugerah 'Player of the Year' daripada Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) pada tahun 1983 atas kecemerlanganya dalam arena sukan badmintion dunia.
Walaupun telah meninggal dunia, nama mendiang setiasa segar dalam sukan badminton negara kerana sumbangan yang dicurahkan beliau dalam arena sukan negara terlalu bernilai buat negara.
Semasa hidup, mendiang pernah berkata Malaysia masih mampu menjadi kuasa badminton dunia selagi ada pemain yang berusaha bersungguh-sungguh untuk maju satu langkah di hadapan lawan mereka.
#badminton #Eddie Choong #Malaya #Piala Thomas
;