Ecuador, Honduras dan Bosnia-Herzegovina dijangka buat kejutan
Aizat Sharif
Jun 15, 2014 23:01 MYT
Jun 15, 2014 23:01 MYT
Tatkala FIFA Piala Dunia 2014 baru sahaja menginjak ke hari ketiga, peminat bola sepak dari seluruh dunia dihidangkan dengan pelbagai kejutan yang luar biasa.
Siapa sangka pada hari kedua kejohanan, Sepanyol yang turun dengan reputasi Juara Dunia ‘diperbudak-budakkan’ malah dimalukan dengan kekalahan 1-5 kepada finalis Piala Dunia edisi lalu, Belanda.
Namun, kejutan tersebut bukanlah satu-satunya perkara yang menjadi bualan hangat di Brazil ketika ini tetapi sebaliknya kebangkitan pasukan kerdil yang tidak langsung diletakkan sasaran tinggi atau pilihan oleh peneliti sukan bola sepak dalam temasya kali ini.
Pagi tadi, sebuah pasukan daripada kawasan Amerika Tengah iaitu Costa Rica membuktikan kepada dunia bahawa reputasi dalam kertas bukanlah penentu kepada kejayaan sebenar.
Ini dibuktikan dengan kejayaan mereka mengejutkan pasukan dari Amerika Selatan, Uruguay dengan 3-1.
Uruguay yang juga juara Piala Dunia tahun 1930 dan 1950 turun dengan reputasi terbaik disamping memiliki pemain-pemain yang berpangkalan di Eropah seperti Luis Suarez, Edinson Cavani, Diego Lugano, Martin Caceres, Diego Godin dan ramai lagi.
Malah, sepanjang rekod pertemuan dengan setiap pasukan dari benua Amerika Selatan, Costa Rica tidak pernah langsung memenangi sebarang perlawanan bersama lawan dari benua itu.
Walaupun terlalu awal untuk menyatakan bahawa Costa Rica dapat lolos ke peringkat pusingan kedua namun petanda ini telah menunjukkan sekurang-kurangnya, keupayaan pasukan bukan pilihan ini untuk melakukan kejutan bukanlah sesuatu yang harus dipandang ringan oleh pasuka gergasi dan pilihan.
Seperti juga dua perlawanan Kumpulan E malam ini antara Switzerland-Ecuador dan Perancis-Honduras dan satu perlawanan Kumpulan F, Argentina-Bosnia-Herzegovina.
Dalam kertas, Switzerland, Perancis dan Argentina dilihat tidak berdepan halangan yang sukar untuk mencatatkan kemenangan meskipun hanya kemenagan tipis.
Namun, jika Costa Rica mampu mengejutkan pasukan bekas juara Piala Dunia adalah tidak mustahil untuk Ecuador, Honduras dan Bosnia-Herzegovina melakukan perkara yang sama.
Ecuador dijangka menurunkan kesebelasannya yang rata-rata beraksi dengan liga tempatan Ecuador disamping beberapa pemain berpangkalan di Eropah seperti pemain sayap Manchester United, Luis Antonio Valencia, pemain tengah VFB Stuttgart, Carlos Gruezo, pemain kelab Belanda, Vitesse Arnhem, Renato Ibarra dan Christian Noboa yang bermain untuk Dynamo Moscow.
Switzerland pula akan menyandarkan harapan mereka kepada pemain-pemainya yang beraksi bersama kelab-kelab Jerman Bundesliga dan Liga Serie A di Itali.
Untuk perlawanan Perancis-Honduras pula, skuad ‘Les Blues’ kendalian Didier Deschamps akan meletakkan strategi serangan mereka kepada dua penyerang utama Arsenal dan Real Madrid, Olivier Giroud dan Karim Benzema dibantu oleh Paul Pogba, Moussa Sissoko, Yohan Cabaye dan Blaise Matuidi di bahagian tengah.
Manakala di barisan pertahanan pula, Bacary Sagna, Laurent Konscielny, Patrice Evra dan Mamadou Sakho serta Hugo Lloris bertindak sebagai penjaga gawang.
Bagi perlawanan antara Argentina dan Bosnia-Herzegovina pula, pemain sensasi, Lionel Messi dan Sergio Aguero akan mengetuai jentera serangan manakala di bahagian tenagh pula akan dipimpin oleh Angel di Maria, Ricardo Alvarez, Javier Mascherano dan Lucas Biglia.
Bosnia-Herzegovina yang kali pertama beraksi di pentas pusingan akhir Piala Dunia pula akan menurunkan kesebelasan terbaiknya yang turut mempunyai penyerang Manchester City, Edin Dzeko, penyerang Vedad Ibisevic dan pemain tengah AS Roma, Miralem Pjanic.