EAM berhasrat wujudkan program jangka panjang untuk persiapan Olimpik
Bernama
November 11, 2021 07:32 MYT
November 11, 2021 07:32 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) berhasrat untuk memulakan satu program jangka panjang bagi penunggang muda mereka sebagai persiapan ke Sukan Olimpik di masa hadapan.
Presiden EAM Syed Omar Syed Abu Bakar Almohdzar berkata mereka sudah mula berbincang dengan beberapa pihak termasuk agensi kerajaan untuk menyuntik peruntukan ke dalam program ini.
"Program ini akan berjalan untuk 10 tahun akan datang dan lebih kepada dua ke tiga Sukan Olimpik kerana kami tidak boleh mencapainya semalaman. Justeru, kami memerlukan satu program jangka panjang yang akan mempromosikan pembiayaan yang mampan dan keputusan yang konsisten," katanya dalam satu sidang media di sini semalam.
Terdahulu, Syed Omar menghadiri satu majlis penyampaian anugerah untuk meraikan penunggang muda negara yang memperoleh lima pingat perak di Kejohanan Kuda Lasak Remaja Dunia (WEC) FEI yang berlangsung di Ermelo, Belanda September lepas.
Seorang daripada pemenang, An-Nur Muhammad Imran Eirfan Anuwar daripada Pasukan Menunggang Kuda Annur berkata beliau merasa gembira mewakili negara di peringkat antarabangsa buat julung kalinya sejak melayakkan diri dalam kejohanan itu pada 2017.
"Ini adalah pencapaian terbaik saya dan saya membawa pulang sebutir pingat daripada WEC dan saya berharap ini bukanlah hanya kejayaan saya seorang tetapi juga untuk atlet terdahulu dan akan datang. Justeru, saya berharap kemenangan saya menjadi inspirasi buat yang lain di luar sana," katanya.
An-Nur Muhammad Imran berharap dengan kejayaan ini, beliau akan mampu melangkah ke pusingan kelayakan kejohanan seterusnya pada Mei tahun hadapan yang akan membawanya ke kejuaraan seterusnya.
-- BERNAMA