E-sukan: 'Pro gamer' mahu badan disiplin ditubuhkan, jamin kebajikan atlet

Mariah Ahmad
April 23, 2018 12:01 MYT
AmTuah (kiri) yang sudah berkecimpung dalam arena ini secara profesional selama empat tahun, mahu atlet-atlet e-sukan dijaga dengan baik seperti atlet-atlet sukan yang lain. - Foto Astro AWANI / MARIAH AHMAD
Pemain profesional e-sukan FIFA, Nur Amirul ‘AmTuah’ Afandi mengharapkan kerajaan dapat menubuhkan satu badan yang dapat mengawasi setiap kejohanan yang dianjurkan di Malaysia.
Menjadikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai contoh, AmTuah berkata penubuhan badan tersebut amatlah diperlukan bagi menjamin kebajikan atlet-atlet e-sukan dalam negara ini.
“Seperti FAM, mereka mempunyai badan disiplin yang boleh memberi hukuman kepada penganjur atau pemain yang melakukan kesalahan.
“Badan ini perlu betul-betul bersih daripada apa-apa isu, tidak mengamalkan kronisme atau bersikap pilih kasih terhadap penganjur kejohanan yang tertentu. Badan ini juga perlu mengawasi semua kejohanan yang ada di Malaysia.
“Mungkin perkara ini kita tidak nampak (dengan jelas) dalam industri e-sukan kerana (struktur) badan sedia ada yang diberi tugas dan amanah tidak dibangunkan dengan baik,” katanya dalam satu temu bual Astro AWANI baru-baru ini.
Tegas AmTuah yang sudah berkecimpung dalam arena ini secara profesional selama empat tahun, atlet-atlet e-sukan juga perlu dijaga dengan baik seperti atlet-atlet sukan yang lain.
Dia tidak mahu insiden Kejohanan Sukan Elektronik Asia Tenggara (AGES) yang berlaku terhadapnya pada dua tahun lalu berulang lagi.
“Saya mewakili Malaysia dalam kejohanan AGES dan menjadi johan Asia Tenggara. Sepatutnya saya membawa pulang RM34,400, tetapi sehingga hari ini masih tidak dapat lagi wang kemenangan itu.
“Walaupun kejohanan ini disokong oleh badan kerajaan yang menguruskan hal-hal e-sukan Malaysia tetapi saya kecewa.
"Perkara ini boleh dielak jika badan ini betul-betul melakukan penyelidikan bagi memastikan penaja-penaja kejohanan itu membayar (kepada pemenang) dan tidak diberi peluang melarikan diri begitu sahaja,” tambah AmTuah.
Selain AGES 2016, anak muda yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan Islam itu telah menjadi johan sebanyak 30 kali sepanjang tempoh empat tahun dalam karier profesional e-sukan FIFA.
Antara pencapaian terbesar adalah termasuk juara Kejohanan Terbuka Asia Cyberfest 2017 dan juara Kejohanan Virtuelle Bundesliga Asia Tenggara pada tahun ini.
#ages #amtuah #e-sukan #FAM #FIFA #gamer #Nur Amirul Afandi #Persatuan Bolasepak Malaysia
;