E-sukan mudah alih dalam kapal terbang?

Mariah Ahmad
April 17, 2018 18:05 MYT
Apakah bentuk kerjasama yang bakal dilakukan Razer dan AirAsia Saiyan? Tunggu dan lihat apa yang kami akan buat bersama-sama nanti di ketinggian 36,000 kaki kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.
Organisasi e-sukan dan anak syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Berhad iaitu AirAsia Saiyan dikatakan bakal menjalinkan kerjasama dengan syarikat pengeluaran aksesori permainan video terkemuka dunia, Razer.
Dalam satu penstriman langsung Facebook dari London, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia Bhd dan CEO Bersama Kumpulan AirAsia X, Tan Sri Tony Fernandes berkata pihaknya mahu orang ramai bermain permainan video mudah alih di dalam pesawat pada masa akan datang.
“Kami sangat teruja dengan AirAsia Saiyan. Ia sesuatu yang baharu.
“Sebelum ini kami menaja kelab bola sepak dan ramai syarikat telah melakukannya. Jadi kami beralih kepada sesuatu yang baharu iaitu e-sukan mudah alih dan kami jangka ia akan menjadi satu perkara yang sangat besar.
“Kami bekerja keras dalam hal ini dan kami mahu orang ramai bermain e-sukan mudah alih dalam kapal terbang,” katanya menerusi penstriman langsung itu.
BACA: AirAsia komited bangunkan portfolio digital
Sebelum ini, Tony dilihat mengadakan beberapa pertemuan dengan pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Razer, Min Liang Tan pada Ogos dan November.
Min Liang pernah dinamakan sebagai Pengasas Teknologi Paling Berpengaruh di Asia Tenggara oleh Tech in Asia pada 2015 dan Straits Times Asians of the Year pada 2016.
Pada 22 Ogos tahun lalu, Tony memuat naik gambar di Instagram dengan kapsyen: "Min Liang Tan merupakan seorang yang hebat. Apa yang dibangunkannya menerusi Razer di San Francisco sangat mengagumkan.
"Tunggu dan lihat apa yang kami akan buat bersama-sama nanti di ketinggian 36,000 kaki."
Kemudian pada 15 November 2017, Fernandes bertemu Min Liang sekali lagi untuk melihat sendiri telefon pintar yang dilancarkan Razer.
"...Ini telefon pintar baharu Min Liang. Semuanya dilakukannya sendiri. Anda tahu apa yang terbaik tentang dirinya? Dia seorang yang suka merendah diri walaupun telah rangkul banyak pencapaian," katanya dalam status Facebook.
Pembabitan AirAsia dalam e-sukan bermula sejak ia menjadi penaja dan rakan penerbangan rasmi pasukan profesional Dota 2 Asia Tenggara Mineski Pro Team pada Januari lalu.
Dua bulan kemudian, AirAsia mengumumkan Tony menjadi pemilik majoriti pasukan Mobie Legends Malaysia Team Saiyan dan dijenamakan semula sebagai AirAsia Saiyan.
Selain e-sukan Mobile Legends, mereka kini sedang mengenal pasti permainan lain untuk diterokai seperti Vainglory, Clash Royale, Arena of Valor (AOV) dan lain-lain lagi.
#AirAsia #airasia saiyan #Tony Fernandes
;