Dwight Yorke ramal pemenang Piala Dunia 2014 dari kelompok Latin Amerika

Tan Su Lin
Januari 3, 2014 07:30 MYT
Pemenang Piala Dunia FIFA 2014 dijangka muncul salah satu dari kelompok negara Latin Amerika.
Menurut Duta FIFA, Dwight Yorke, ramalan itu adalah berdasarkan sejarah kemenangan piala dunia yang sering didominasi negara-negara amerika selatan.
Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan Brazil yang menjadi tuan rumah perlawanan bola sepak berprestij itu mungkin menonjol sebagai pemenang kali ini.
"Saya berpendapat Brazil selaku tuan rumah mempunyai peluang yang baik khususnya dengan sokongan daripada penyokong. Saya tidak melihat mengapa Brazil tidak boleh menang bermain di luar mahupun dalam negara. Biarpun saya akan memilih negara Amerika Selatan yang akan memenangi Piala Dunia berdasarkan sejarah namun Brazil merupakan pilihan kegemaran saya." kata Dwight yang juga merupakan bekas pemain Manchester United.
Duta FIFA, Dwight Yorke (tengah) pada majlis meraikan ketibaan trofi Piala Dunia 2014 sempena siri jelajahnya di Pusat Penyiaran Asia (Astro) Bukit Jalil.
Tumpuan juga pasti terarah kepada pemain-pemain bola sepak terkemuka yang bakal berentap bagi merangkul trofi itu.
"Ronaldo dan Messi antara pemain paling menonjol. Pastinya Neymar juga bakal mencuri tumpuan, selain pemain Barcalona dan khususnya Sepanyol yang banyak melahirkan pemain-pemain berkualiti." tambah Dwight.
Beliau ditemui selepas majlis meraikan ketibaan trofi Piala Dunia 2014 sempena siri jelajahnya di Pusat Penyiaran Asia (Astro) Bukit Jalil.
Astro yang juga penyiar rasmi piala dunia itu merupakan lokasi persinggahan pertamanya di Kuala Lumpur pada Sabtu sebelum dipamer kepada orang ramai pada Ahad ini di Pusat Dagangan Dunia Putra, PWTC.
Penulis bersama trofi Piala Dunia di Pusat Penyiaran Asia (Astro) Bukit Jalil yang merupakan lokasi persinggahan pertamanya di Kuala Lumpur.
#Astro #bola sepak Piala Dunia 2014 #Dwight Yorke #ramalan pemenang
;