Duterte minta maaf persiapan Sukan SEA huru-hara
Astro Awani
November 30, 2019 13:52 MYT
November 30, 2019 13:52 MYT
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte memohon maaf dan berjanji akan menjalankan siasatan tentang permasalahan menjelang persiapan pembukaan temasya Sukan SEA malam nanti.
Menurutnya, huru-hara berlaku disebabkan masalah logistik dan kerja-kerja pembinaan saat-saat akhir.
Kata Duterte, walaupun dipalit pelbagai masalah dan kontroversi, wakil negara lain wajar tahu bahawa Filipina, sebagai tuan rumah tidak gembira dengan keadaan berkenaan.
Antara rungutan para delegasi dari negara-negara peserta termasuk kontinjen Filipina sendiri adalah tentang masalah pengurusan pengangkutan, dan penginapan selain makanan.
Aduan tersebut semakin meningkat lebih-lebih lagi ketika ribuan atlet dan pegawai mula membanjiri Manila untuk edisi terbesar sukan itu.
Tidak cukup dengan isu itu, situasi dibimbangi akan diburukkan lagi dengan ramalan kejadian taufan yang kian hampir ke utara Filipina, minggu depan.
Upacara perasmian temasya Sukan SEA edisi ke-30 akan berlangsung bermula 7 malam waktu tempatan, yang dilihat menyambung tradisi inspirasi dalam meraikan perpaduan di rantau Asia Tenggara menerusi acara sukan.
Ia bertemakan "Win as One" akan berlangsung selama 12 hari sehingga 11 Disember.