Durakovic gembira terima import baru
Astro Arena
Mei 9, 2019 16:53 MYT
Mei 9, 2019 16:53 MYT
MEHMET DURAKOVIC gembira dengan kehadiran Ronaldo Henrique Silva dan Raianderson Da Costa Morais dalam pasukan Perak.
"Saya gembira kami mendapat penyerang berwibawa dan seorang pemain tengah menyerang bagi menghadapi baki kempen musim ini.
"Semoga dengan kehadiran mereka, masalah ketumpulan jentera serangan pasukan ini akan berakhir.
"Kami terlepas beberapa peluang menjaringkan gol musim ini hingga menyebabkan kami gagal memenangi perlawanan yang sepatutnya dimenangi," kata Durakovic selepas majlis pengenalan dua pemain Brazil itu di pejabat Menteri Besar merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, hari ini.
Kedua-dua pemain itu menggantikan Gilmar Da Silva dan Wunder Luiz Biten Court Junior selepas kedua-dua pihak bersetuju dengan perpisahan itu.
Jurulatih dari Australia itu berkata Ronaldo dan Raianderson dicadangkan oleh beberapa kenalan, termasuk beberapa jurulatih di Brazil yang mengenali mereka.
Sementara itu, Ronaldo, 28, berharap mampu membalas kepercayaan Perak terhadapnya dengan memberikan sumbangan berkesan dalam setiap perlawanan.
"Saya gembira dapat menyertai pasukan ini dan berharap akan menikmati musim cemerlang bersama pasukan baru ini," kata penyerang itu.
#Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
#Import Brazil
#Liga Super
#mehmet durakovic
#PAFA
#Perak
#Piala Malaysia
#The Bos Gaurus