Dulu Chelsea kini Everton
Sinar Harian
Februari 1, 2022 09:20 MYT
Februari 1, 2022 09:20 MYT
KELAB Liga Perdana Inggeris (EPL), Everton menamatkan pencarian pengurus baharu The Toffees apabila melantik bekas pengendali Chelsea, Frank Lampard untuk berkhidmat di Goodison Park dengan kontrak dua setengah tahun, kata kelab Liga Perdana itu pada Isnin.
"Saya tidak sabar untuk memulakan cabaran baharu bersama Everton. Selepas bercakap dengan pemilik, pengerusi dan lembaga pengarah, saya sangat merasakan keghairahan dan cita-cita mereka. Saya harap mereka merasakan cita-cita saya dan betapa terujanya saya ingin membawa kelab ini ke hadapan.
"Anda boleh rasakan keghairahan para penyokong Everton terhadap kelab kesayangan mereka ini. Itu akan menjadi penanda aras yang sangat penting. Sebagai sebuah kelab yang beraksi dalam saingan kompetitif seperti Liga Perdana, kedudukan semasa kelab memerlukan penambahbaikan segera.
"Pada saya, Everton adalah sebuah kelab unik kerana anda boleh memahami apa yang para peminat mahu lihat. Perkara pertama yang mereka mahukan adalah perjuangan dan keinginan dan itu mesti sentiasa menjadi garis dasar kami," kata Lampard.
Everton yang kini berada di kedudukan ke-16 liga dengan 19 mata selepas mengharungi 20 perlawanan memecat Rafa Benitez bulan lalu selepas kekalahan 2-1 di Norwich City menyebabkan kelab Merseyside itu enam mata di atas zon penyingkiran.
Untuk rekod, Lampard yang berusia 43 tahun memulakan karier kejurulatihannya di Derby County pada 2018 sebelum menyahut cabaran bersama Chelsea, kelab yang dipacunya sebagai pemain selema 13 tahun sebagai pemain dengan memenangi beberapa trofi kejuaraan utama.
Bekas pemain tengah England itu mengetuai kelab London tersebut untuk menamatkan saingan liga di tangga keempat dan final Piala FA pada musim pertamanya, namun dipecat pada Januari tahun lalu apabila The Blues melakar beberapa keputusan buruk.
Ujian pertama Lampard sebagai pengendali The Toffees adalah apabila melayan kunjungan Brentford dalam pusingan keempat Piala FA pada Sabtu sebelum ke Newcastle United tiga hari kemudian untuk saingan liga.
Artikel asal di Sinar Harian