Dua wakil negara mara ke separuh akhir Terbuka New Zealand
Bernama
Mei 3, 2019 06:58 MYT
Mei 3, 2019 06:58 MYT
Pasangan beregu profesional lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mencipta kejutan mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka New Zealand selepas menundukkan pilihan keempat kejohanan, Takuto Inoue-Yuki Kaneko dari Jepun, pada Jumaat.
Tewas dalam dua pertemuan terakhir, V Shem-Wee Kiong dipaksa bekerja keras pada aksi suku akhir sebelum mencatat kemenangan 21-18, 22-24, 21-12 ke atas pasangan di ranking ke-13 dunia itu dalam tempoh 69 minit di Stadium Eventfinda, Auckland.
V Shem-Wee Kiong akan berdepan pilihan kedua kejohanan dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan yang mengetepikan cabaran beregu Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin 18-21, 21-19, 21-14.
Turut mara ke kelompok empat terbaik adalah pasangan beregu campuran profesional Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang akan membuat perhitungan berdepan pilihan keempat dari Indonesia Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja.
Terdahulu, Peng Soon-Liu Ying mudah menundukkan 'rakan lama' yang juga pasangan negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jin apabila hanya memerlukan 35 minit untuk melakar kemenangan 21-16, 21-11.
Sementara itu, perjalanan empat lagi wakil negara yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) gagal meneruskan kemaraan ke pusingan separuh akhir selepas kecundang kepada lawan masing-masing.
Pasangan beregu campuran yang diletakkan selaku pilihan ketiga, Goh Soon Huat-Shevon Lai tewas mengejut kepada pasangan pilihan kelima dari Indonesia Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 14-21, 19-21.
Dalam acara beregu lelaki pula menyaksikan Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa akur dengan kehebatan pilihan pertama, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda dari Jepun apabila tewas 21-17, 15-21, 10-21 sementara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tewas 7-21, 18-21 kepada satu lagi pasangan Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe.
Dalam pada itu, pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia turut terkandas selepas gagal menyaingi ketangkasan pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long dengan kekalahan 17-21, 21-11, 19-21. -- Bernama