Dua wakil KLRC tumpas di Terbuka Malaysia
Astro Awani
Januari 16, 2013 00:08 MYT
Januari 16, 2013 00:08 MYT
Pemain muda negara dari Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC) Zulfadli Zulkifli kandas dipusingan pertama selepas tewas kepada Ouseph Rajiv.
Meskipun mengheret perlawanan ke tiga set, Zulfadli tetap gagal menafikan kemaraan pemain England itu.
Beraksi dihadapan kira-kira 200 penyokong, Zulfadli bermula baik dengan memberi tentangan awal kepada Rajiv.
Namun, Rajiv lebih tenang untuk meraih kemenangan 23-21 di set pertama.
Zulfadli yang juga bekas juara remaja dunia, bangkit di set kedua apabila berjaya menjelmakan corak permainan pantas untuk menang 21-14.
Kekurangan pengalaman di pentas senior antarabangsa, jelas menjadi penghalang buat Zulfadli.
Di set penentuan, ketenangan Rajiv membolehkannya meraih kemenangan 21-13 untuk meneruskan kemaraan.
Satu lagi wakil KLRC, pasangan Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari turut tersingkir di pusingan pertama.
Bekas beregu utama negara itu, tewas dalam tiga set, berdepan pasangan Russia, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov 21-19,14-21,16-21.